PEMUDA PAS KELANTAN "ARAHKAN" NIK ABDUH "JAGA MULUT"!!!

Ketua Pemuda PAS Kelantan mahu anak Mursyidul Am PAS, Nik Abduh Nik Aziz, supaya "jaga mulut" dari mengeluarkan kritikan penuh emosi terhadap dua rakan sekutu parti mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dr Rosli Abdul Kadir yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Kota Bharu berkata, Nik Abduh selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat perlu lebih positif dan bukannya mengkritik menuju pepecahan.

"PAS adalah abang tua kepada PKR dan DAP. Selaku abang tua, pimpinan PAS perlulah lebih bijaksana mengawal emosi.

"Tidak perlulah kita melayan semua kenyataan yang dibuat oleh adik-adik kita, yang perlu dilayan oleh kita hanyalah kenyataan rasmi yang dibuat oleh mereka sahaja," kata Dr Rosli, cuba "mengarah" anak lelaki bekas Menteri Besar Kelantan itu semalam.

Nik Abduh sebelum ini mengkritik pedas PKR dan DAP yang dikatakan membuli PAS sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan pemimpin, ahli dan para penyokong parti Islam itu.

"Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS.

"Sehinggakan PAS kelihatannya sekarang seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi." kata Nik Abduh yang dipetik dari akaun laman Facebooknya.

Dr Rosli turut mengkritik tindakan anak lelaki Mursyidul Am PAS itu yang menggunakan laman sosial Facebook untuk menghentam PKR dan DAP.

Beberapa pemimpin PKR dan DAP sebelum itu bertindak "memijak kepala" dengan menghentam, menyelar, mengutuk dan menggelar PAS sebagai pengkhianat Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan ramai tersentak dengan kebiadapan dua sekutu parti Islam itu. 

Selain mengherdik PAS secara terbuka di pentas, forum, konvensyen dan pertemuan politik, PAS turut diperlekeh pemimpin PKR dan DAP menerusi laman sosial Facebook, Twitter dan Blog. -KedahNews.com