PETALING JAYA - Tiada sebab bagi bekas Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meletakkan jawatan sebagai
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, kata bekas Setiausaha
Politiknya, Faekah Husin.
Faekah berkata, beliau tidak mengetahui tentang Khalid memberi gambaran akan meletakkan jawatan itu.
Selain Adun Pelabuhan Klang, Khalid juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
"Tiada sebab untuk Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatannya
sebagai Adun Pelabuhan Klang. Diharapkan para pengundinya tidak
mendengar khabar angin yang tidak berasas itu," kata Faekah menerusi
mesej teks kepada The Star Online.
Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Khalid akan mengosongkan
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekembalinya dari luar negara.
Khalid dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Ogos lalu
kerana enggan mengundurkan diri sebagai menteri besar bagi memberi
laluan kepada Presiden parti dan Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail untuk memegang jawatan itu.
Khalid pada 22 September lalu berkata, beliau akan meneruskan
jawatannya sebagai anggota Parlimen tetapi status Adunnya akan
diputuskan selepas sidang DUN pada November depan. -mStar