Kisah Hati Seorang Tua, Pernahkah Kita Peduli? #mohonshare

Setiap insan di dunia ini berasal dari ibu dan ayah, kecuali Nabi Adam AS. Dilahirkan dalam keadaan suci bersih bagaikan sehelai kain putih, ibu dan ayah membesarkan kita sehingga kita kenal erti dunia.

Baru mengenali dunia, ramai di kalangan kita yang "lupa" diri dan tidak mengendahkan ibu dan ayah masing-masing. Kononnya tiap-tiap bulan kita kirim wang, belikan itu dan ini, hantar ibu dan ayah menunaikan haji dan umrah, seolah-olah besar benar jasa kita kepada mereka berdua.

Namun kita lupa, sebesar mana pun jasa kita kepada mereka berdua, kita tidak akan mampu membalasnya meskipun kita mengendong mereka, memandikan mereka dan menyuap nasi ke mulut mereka hingga ke akhir hayat. Itu fakta dan mafhum hadis Rasulullah SAW.

Ramai juga yang berpandangan bahawa kita tidak wajib membalas jasa atau menyara ibu dan ayah kita apabila dewasa. Namun kita lupa bahawa Allah SWT melarang kita menyakitkan hati ibu dan ayah walau sekelumit pun.

Ibu dan ayah tidak minta jasa mereka dibalas. Namun jauh di sudut hati mereka, ibu dan ayah mengharapkan anak-anak mereka memberi kasih sayang, perhatian dan menjaga hati serta perasaan mereka yang sudah tua.

Ketika kecil, kita merengek-rengek mahu dibeli pistol mainan atau patung Cinderella, meskipun bukan tanggungjawab ibu dan ayah membelikan barang mainan yang kita hajati, mengenangkan hati anak dan kasih sayang, mereka belikan juga walau dalam poket mereka hanya tinggal RM10 sahaja.

Ibu dan ayah yang sudah tua tidak merengek-rengek meminta itu dan ini. Cuma di dalam hati mereka, terpendam perasaan inginkan perhatian, kasih sayang dan dijaga hati mereka agar terus tenang hingga ajal menjemput.

Berikut adalah sebuah cerita menarik tentang kehidupan seorang ayah yang sudah tua untuk kita kongsikan bersama. Semoga kita dapat manfaat dan diberi kesedaran serta hidayah dariNya berdasarkan ceritu tersebut. Insya Allah... -KedahNews.com
Sebuah teksi berhenti di belakang kereta isteri saya yang menghantar saya untuk rawatan.

Pemandu teksi keluar mengambil kerusi roda kerana orang tua yangg dibawanya tak berupaya berjalan.Saya tolong menyorong ke dalam dan duduk disebelahnya.

"Saya tengok Tn Haji selalu dihantar oleh teksi, tak ada anak ka?" soal saya memula bicara.

"Isteri dah meninggal. Anak dah kerja dan dah kahwin, tinggal berasing.
"Saya tak mahu suruh anak hantar kerana saya takut mereka berdosa kerana menolak, memberi alasan, atau menghantar dengan masam perasaan. Biarlah saya upah teksi." dia diam sejenak.
Saya dah bersedia mendengar luahan hatinya...

"Sekarang saya sedar, kita bela anak untuk menyenangkan hidupnya. Jangan mengharap untuk menyenangkan hidup kita."

Dia mula mengesat air mata.

"Dosa berkata 'uuh!' pun sudah cukup besar pada seorang anak, inikan pula menolak, memberi alasan dan bermuka masam bila diminta sesuatu. 

"Biarlah, saya anggap saya sudah menamatkan tugas memelihara mereka. Biarlah mereka merenangi hidup tanpa diganggu."

Allahuakbar! Saya pula yang menitiskan air mata. Kata-katanya benar-benar meredupkan hati saya. 

Bukan tidak pernah menolak permintaan ayah, bukan pernah memberi alasan untuk tidak menunai permintaannya, bukan tidak pernah bermasam muka dengannya.

Ya Allah, orang tua ini bukan sahaja berjaya menunai tanggungjawabnya, tetapi melakukan lebih lagi dengan mengelak anak-anaknya dari terjerumus dalam ketelanjuran dosa.

Ayah dan ibu siapa pun akan mengorbankan seluruh kudrat yang ada demi kesejahteraan anak, yang lahir bukan atas paksaan namun lebih kepada naluri yang Tuhan jadikan. 

Jauh di sudut hati mereka mengharap anak anak tempat bergantung dihari tua.
Tetapi bagai dikata oleh orang tua yang saya temui, akhirnya bila zaman berubah, banyak anak yang terlupa, yang alpa apabila sibuk mengejar dunia.

Ada anak yang hilang pertimbangan antara bapa yang telah tak berupaya serta membebankan dengan dunia yangg perlu dihambat. 

Bapa yang baik akan meneruskan pengorbanannya seperti orang tua yang saya ceritakan, sehingga akhir hayatnya.

Berhentilah memberi alasan kepada ibu dan bapamu kerana mereka tidak pernah memberi alasan untuk memenuhi permintaan mu kecuali bila mereka benar-benar tidak berupaya!
 
Al-Fatihah kepada ibu bapa kita sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.