KJ Kecam Malaysian Insider Buruk Lapor Isu Alvin, Ali

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengkritik portal berita The Malaysian Insider kerana membuat laporan tidak benar berhubung tindakan Ali Abd, Jalil dan Alvin Tan melarikan diri ke luar negara bagi mencari suaka politik.

Beliau menyelar laporan The Malaysian Insider kerana memberi gambaran seolah-olah kedua-dua individu yang berhadapan prosiding mahkamah itu terpaksa lari dari Malaysia sebab tidak mahu dizalimi oleh kerajaan.

“Saya ada masalah besar dengan artikel yang dikeluarkan oleh sebuah portal pro-pakatan ini. Artikel ini bermula dengan: 
“Keputusan Ali Abd Jalil dan Alvin Tan mencari suaka politik berbanding berdepan dengan sistem keadilan bagi kesalahan mereka merupakan simptom peningkatan kekecewaan anak muda berhubung tindakan tegas Putrajaya terhadap musuh politik”.
“Ini memberi gambaran seolah-olah kedua-dua individu ini terpaksa lari dari Malaysia, mencari perlindungan di luar negara sebab tidak mahu dizalimi oleh kerajaan yang tidak membernarkan kritikan dan kebebasan bersuara. Sebab itu ditulis tentang “tindakan tegas Putrajaya terhadap musuh politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy menerangkan, kes yang dihadapi kedua-dua individu tersebut di mahkamah bukan merupakan kes politik tetapi laporan The Malaysian Insider mendakwa mereka adalah pelarian politik yang menentang kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan bersuara.

Jelasnya, Ali dan Alvin didakwa di mahkamah bukan kerana mengkritik kerajaan tetapi kerana memuat naik gambar ‘bak kut teh halal’ yang menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Ali pula, kata beliau, memang mengkritik UMNO tetapi dia didakwa di mahkamah bukan kerana itu sebaliknya kerana komennya tentang institusi sultan dan raja di negara ini.

“Antara komen beliau, mahu raja dihapuskan dan sultan rasa negara ini “kepala bapak depa punya.” Tulis “kami berani mati, tetapi baru kena dakwa di mahkamah terus lari,” sindir Khairy.

Justeru, beliau menyelar The Malaysian Insider kerana cuba memberi gambaran seolah-olah Alvin dan Ali hero anak muda yang menentang kerajaan atau polisi kerajaan dengan menutup fakta kes mereka didakwa kerana menghina perkara-perkara yang sensitif.

“Nak jadikan mereka ini ikon orang muda? Nak kata mereka ini contoh bagi orang muda di Malaysia? Saya rasa majoriti anak muda Malaysia lebih suka melihat dua orang ini tidak kembali semula ke tanah air,” tegasnya. -Mynewshub.my