PUTRAJAYA – Perbicaraan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim
disambung hari ini dengan peguam-peguam pembelaan terus mengemukakan
penghujahan mengapa Mahkamah Persekutuan harus membatalkan sabitan dan
hukuman lima tahun penjara terhadap Penasihat PKR itu.
Selepas penghujahan panjang lebar oleh peguam utama Datuk Seri Gopal
Sri Ram semalam, tiga peguam lain pembelaan menyatakan mereka memerlukan
sepanjang hari ini untuk membuat penghujahan mereka.
Peguam N.Surendran meneruskan penghujahannya di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Ia diikuti peguam Sangeet Kaur Deo yang akan berhujah mengenai sampel
yang diambil daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman di Ibu
Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur susulan laporan polis oleh bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai dakwaan kejadian itu.
Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh mungkin berhujah dengan
terperinci mengenai analisis DNA di mana beliau akan mempertikaikan
integriti sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai
pendakwaan pula dijangka membuat penghujahannya esok, dan prosiding
rayuan kes liwat Anwar mungkin berlanjutan sehingga Jumaat.
Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia)
dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana
pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penhujahan secara menyeluruh
mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan
mahkamah.
Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar atas
kesalahan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100
peratus pasti mengenai integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd
Saiful.
Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel itu boleh terjejas sebelum ia tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan itu terkhilaf
apabila meragui integriti sampel berdasarkan keterangan dua pakar saksi
yang dipanggil oleh pihak pembelaan.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu yang
didakwa dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan
Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.40 petang pada 26
Jun 2008.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ini kes liwat kedua terhadap Anwar.
Dalam kes pertama, Anwar didapati bersalah meliwat pemandu
keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan
dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos
2000.
Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara
enam tahun atas kesalahan rasuah setelah disabitkan terhadap empat
tuduhan rasuah pada 4 April 1999.
Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang
diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad meminda sabitan kesalahan itu dan
mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam
keputusan majoriti 2-1.
Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka
Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah
dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya,
ketiga-tiga hakim itu bersetuju bahawa berlakunya aktiviti liwat antara
Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar,Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. –
BERNAMA