Ahli sukan terbaik sepanjang zaman, legenda tinju, Muhammad Ali kini berada dalam keadaan yang amat kritikal, demikian menurut ahli keluarganya.
Muhammad Ali, 72 tahun mengidap penyakit Parkinson sejak 1984 dan kini keadaannya semakin serius apabila tidak boleh bercakap.
Anaknya, Ali Junior dan Rahman tidak menjangka keadaan bapanya bertambah teruk.
Rahman berkata, penyakit yang dihadapi Muhammad Ali telah menyebabkan bapanya itu semakin sukar untuk bercakap, bagaimanapun isteri kepada legenda tinju itu, Lonnie yang juga bekas jururawat merasakan suaminya mampu meneruskan hidup.
Khabar angin berhubung keadaan Muhammad Ali mula terdengar apabila bekas jaguh tinju dunia itu tidak hadir sewaktu tayangan perdana filem tentang kisah hidupnya bertajuk I Am Ali pada minggu lepas.
Sepanjang kegemilangan Muhammad Ali pelbagai kejuaraan telah diraih, malah jaguh tersebut turut meraih tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada 30 Jun 1975 Muhammad Ali pernah beraksi menentang Joe Bugner yang juga peninju berpengaruh dunia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi merebut Tali Pinggang Tinju Heavyweight Sedunia (World Heavyweight).
Pertarungan bersejarah pada 1975 di Stadium Merdeka itu telah disaksikan secara langsung di seluruh tanah air (menerusi RTM) dan 59 buah negara lain. – AGENSI