KUALA LUMPUR – Stigma masyarakat Malaysia beranggapan lelaki yang
membuat kerja-kerja wanita di rumah sebagai pondan perlu dikikis kerana
ia boleh memberi kesan negatif terhadap institusi kekeluargaan, kata
pakar masakan Datuk Redzuawan Ismail.
Redzuawan atau lebih dikenali sebagai Chef Wan berkata anggapan itu
berlaku secara meluas di Malaysia akibat tahap ego keterlaluan dalam
diri di kalangan lelaki khususnya Melayu, yang melihat melakukan
kerja-kerja rumah sebagai individu yang memiliki perwatakan lembut.
“Tidak semestinya lelaki yang membuat kerja-kerja rumah dianggap
lemah dan lembut. Mereka berbuat demikian bagi membantu isteri yang
mungkin penat setelah bekerja di pejabat.
“Bagaimanapun, dalam masyarakat kita persepsi sedemikian masih
terjadi sedangkan ia tidak pernah wujud di negara Barat,” katanya kepada
Bernama selepas menjadi anggota panel dalam diskusi ‘Mentakrifkan
Kelelakian’ (Redefining Masculinity) sempena Forum Wanita Luar Biasa
(The Woman Extraordinaire Forum) 2014, di sini hari ini.
Chef Wan berkata sebagai suami dan bapa yang merupakan ketua
keluarga, mereka sepatutnya menjadi contoh yang baik kepada anak-anak
dengan membantu melakukan kerja-kerja rumah.
“Melalui pengalaman sendiri, saya dapati apabila melakukan
kerja-kerja rumah ia bukan hanya menyenangkan, malah menyihatkan badan,”
katanya.
Pereka fesyen, Bon Zainal Harun berkata maruah serta imej seorang
lelaki tidak akan terjejas sekiranya membantu isteri melakukan
kerja-kerja rumah termasuk mencuci pinggan mangkuk dan membasuh pakaian.
“Bukan hanya kerja rumah, malahan jika lelaki yang terlibat dalam
bidang kewanitaan seperti fesyen dan memasak pun turut dilabel sebagai
lelaki lembut atau songsang.
“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ia mampu menghalang
seorang individu khususnya lelaki untuk menceburi bidang yang digemari
mereka,” katanya.
Diskusi selama sejam yang membincangkan stereotaip orang ramai
mengenai peranan lelaki dalam urusan rumah tangga pada masa kini, turut
melibatkan Pengarah Eksekutif SEGi Group, Kim Odhner sebagai anggota
panel.
Pengasas Brandt International Sdn Bhd, Munirah Looi bertindak sebagai moderator. – BERNAMA