Jawa Timur - Perkahwinan antara Bagus Kodok Ibnu Sukodok dengan ‘isteri’ pilihannya semalam tidak sukar menarik perhatian ramai kerana sifatnya yang luar biasa.
Tidak seperti perkahwinan biasa, Bagus Kodok memilih makhluk halus - bernama Peri Roro Setyowati - sebagai pasangannya.
Tidak hanya itu, majlis mengikut adat Jawa itu diadakan di rumah seniman bernama Bramantyo Prijosusilo di Desa Sekaralas di daerah Widodaren, Ngawi itu juga dijadikan sebagai suatu karya seni.
Tanpa kelibat si isteri, majlis itu dimulakan dengan upacara dikenali sebagai midodareni dan diakhir dengan bedhol manten.
Bramantyo berkata, sepanjang proses perkahwinan itu dia tidak akan menggunakan lampu elektrik, sebaliknya hanya obor dan lampu minyak tanah.
“Majlis ini tidak boleh hanya dilihat sebagai upacara biasa, sebaliknya dipandang dalam kerangka seni, iaitu seni kejadian yang digabungkan dengan tradisi Jawa,” katanya.
Menurut Bramantyo, seni kejadian memperluaskan panggung menjadi ruang dan waktu.
Pada ruang dan waktu tertentu, katanya, seniman akan memunculkan suatu peristiwa.
“Kali ini saya hadirkan sebuah perkahwinan adat Jawa melalui suatu upacara,” katanya.
Tinjauan media pagi semalam mendapati, pengantin lelaki Bagus Kodok, 63, sedang dimandikan bersendirian mengikut tradisi Jawa dan tetamu mulai tiba. -Agensi