JOHOR BAHRU – Taman tema dalam bangunan ‘Aktiviti Angry Birds’
pertama di Asia Tenggara akan dibuka kepada orang ramai pada 31 Oktober
ini.
Peminat permainan burung animasi itu akan dihidangkan dengan pelbagai
permainan, aktiviti dan hiburan yang menyeronokkan seperti Lazer Bird
Shoot, Red Bird Goal, Piggy Shooting Gallery dan Captain Black Bird Ship
di taman yang terletak di pusat membeli-belah Komtar JBCC di sini.
Pengarah Eksekutif Damansara Asset Sdn Bhd, Yusaini Sidek pada sesi
preview media pada Ahad berkata, taman itu merupakan kerjasama dengan
pengasas permainan burung itu yang berpangkalan di Finland, Rovio
Entertainment Ltd.
“Peminat-peminat di Malaysia dan negara-negara jiran kini boleh
merasai sendiri dunia Angry Birds menerusi aktiviti-aktiviti pendidikan
dan interaktif serta menyeronokkan,” katanya.
Tiket berharga RM75 untuk sekali masuk tetapi harga bagi pemegang MyKad atau MyKid adalah RM60.
Pelbagai jenis tiket boleh didapati dari pas untuk sekali, pas keluarga sehingga pas tahunan tanpa had.
Taman itu terletak di aras tiga pusat membeli-belah itu, dan akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Kanak-kanak berusia 10 tahun yang masuk ke taman tema itu perlu ditemani seorang dewasa setiap masa. - mStar