Letupan Bom Bukit Bintang: Undang-Undang Setara ISA Perlu Ada


KUALA LUMPUR - Undang-Undang khas yang setara dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu digubal segera bagi membanteras rangkaian kongsi gelap dan jenayah berat yang dilihat semakin ekstrem.

Dekan Kolej Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata kumpulan kongsi gelap kini semakin berani melakukan apa sahaja kegiatan seolah-olah mereka mempunyai benteng yang kebal daripada penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berkata kejadian letupan bom yang meragut satu nyawa dan mencederakan 12 yang lain termasuk rakyat asing di ibu negara pada awal pagi Khamis, merupakan petanda jelas untuk pihak berwajib mewujudkan mekanisme baharu tanpa berkompromi lagi kepada penjenayah yang mengancam keselamatan negara.

"Isu jenayah berat terutama yang membabitkan kongsi gelap semakin serius. Ini timbul kerana tiada lagi ISA, undang-undang yang pernah menggerunkan penjenayah.

"Selepas ISA dimansuh, bekas anggota kongsi gelap yang telah dibebaskan muncul kembali, cuba menunjukkan kedegilan dan keberanian mereka serta sanggup berbuat apa sahaja termasuk mengebom dan meragut nyawa masyarakat," katanya kepada Bernama.


Satu letupan bom berlaku di hadapan sebuah kelab malam di Bukit Bintang pada awal pagi Khamis yang dipercayai berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap.

Ahmad Marthada berkata kebanyakan kumpulan kongsi gelap mempunyai rangkaian besar dan sehubungan itu, undang-undang khas setaraf ISA diperlukan bagi mengawal kegiatan mereka.

"Kita sedia maklum pihak polis mempunyai jabatan khas dan melakukan operasi khas untuk membanteras kongsi gelap.

"Namun ia mungkin tidak dapat dilakukan secara berkala kerana beberapa sebab seperti kekangan anggota. Oleh itu, di sinilah perlunya undang-undang khas," katanya.

Beliau berkata insiden itu juga akan memberi impak negatif kepada industri pelancongan negara.

Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM Mohamad Faisol Keling turut menyuarakan pandangan serupa dan berkata kejadian itu sebagai kemuncak kepada pelbagai kes jenayah berat yang berlaku setelah ISA dimansuhkan.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu menyemak statistik kes jenayah berat dan seterusnya mencadangkan penguatkuasaan undang-undang baharu.

"Satu akta atau apa sahaja bentuk perundangan yang setara dengan ISA perlu diwujudkan segera, yang mempunyai kemampuan untuk menimbulkan kehormatan, dipatuhi masyarakat dan tidak ada kompromi kepada penjenayah," katanya. -BERNAMA