"Majlis Syura PAS Tiada Hak" - Presiden PasMa

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi menegaskan bahawa Majlis Syura tiada hak untuk melarang mana-mana ahli PAS untuk menyertai NGO yang diketuainya dan mendakwa hanya Jawatankuasa PAS Pusat sahaja yang layak membuat keputusan membabitkan parti Islam itu.

Mempertikai larangan yang kepada Ahli PAS dari menyertai PasMa, Phahrolrazi turut menempelak Setiausaha Majlis Syura Ulama, Ustaz Nik Zawawi Salleh berhubung arahan larangan tersebut.

"Beliau tidak ada hak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang melibatkan kuasa eksekutif," 

"Jawatankuasa PAS Pusat adalah merupakan badan eksekutif yang diamanahkan oleh parti," tegas Phahrolrazi yang dipetik dari Malaysian Insider, semalam.

Sebelum itu, Nik Zawawi dalam kenyataannya yang mewakili Majlis Syura mengarahkan semua Ahli PAS supaya tidak melibatkan diri dari sebarang kegiatan PasMa sebagai memperingati arahan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar PAS ke-60 baru-baru ini.

Abdul Hadi dalam ucapannya mengingatkan seluruh jemaah PAS supaya tidak mengamalkan "jemaah dalam jemaah" di dalam parti itu.

"Kawasan dan Badan Perhubungan Negeri juga dinasihatkan membuat laporan bertulis kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura sekiranya tindak-tanduk seumpama itu berlaku di peringkat masing-masing untuk diambil tindakan lanjut," kata Nik Zawawi.

Menurut Perlembagaan PAS, Fasal 8 perkara1(b) menjelaskan tentang kuasa mutlak Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi PAS untuk memberi arahan dan perintah kepada mana-mana badan di dalam parti itu untuk melaksanakan dasar atau ketetapan parti.


Manakala pada Fasal 26 perkara 9(a) menjelaskan tentang peranan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik adalah ditugaskan untuk melaksana, menyusun dan mengatur strategi ketetapan dasar yang mana-mana badan yang lebih tinggi.


Selain itu, pada perkara 9(k), Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ditugaskan untuk membuat pertimbangan untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS serta membuat keputusan mengenainya SETELAH DIPERSETUJUI OLEH MAJLIS SYURA ULAMA. -KedahNews.com