SEREMBAN – Malaysia memerlukan Akta Hasutan 1948 bagi menjaga
sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri Besar
Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Memang benar, akta ini diperkenalkan oleh British semasa zaman
penjajahan namun, secara amnya mereka mempunyai fikiran serta pandangan
yang jauh.
“Ini kerana rakyat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang
perlu dijaga tahap sensitiviti agama, bahasa dan kebudayaan
masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis
penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan perasmian persidangan
perwakilan ke-61 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM)
cawangan Negeri Sembilan di sini, semalam.
Menurutnya pihak asing tidak harus campur tangan dan bersikap
mendesak dalam perkara itu kerana ia menggugat kesejahteraan dan
keharmonian rakyat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan PV-ATM cawangan Negeri Sembilan
membuat resolusi menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada desakan
pihak-pihak yang meminta akta itu dimansuhkan.
Mohamad juga meminta bekas tentera di seluruh negara supaya mendaftar
seabagi anggota PV-ATM bagi membolehkan mendapat bantuan buat diri
mereka dan keluarga.
Selain itu, beliau berharap Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan
Tentera (PERHEBAT) dapat memberikan latihan sewajarnya kepada tentera
dalam penyediaan ke dunia persaraan.
Pada majlis itu, Mohamad menyampaikan PJM kepada 70 veteran PV-ATM Negeri Sembilan. – BERNAMA