Mangsa Kebakaran Kg Alor Bangsa Terima RM50,000 Setiap Keluarga

ALOR SETAR - Dua keluarga mangsa kebakaran, masing-masing menerima peruntukan RM50,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, semalam.

Sumbangan itu bagi meringankan beban untuk membina rumah baharu selepas kediaman didiami hangus dalam kebakaran pada 5 Ogos lalu di Kampung Alor Bangsa.

Mangsa, Shuib Ismail, 62, berkata, sumbangan itu amat diperlukan bagi membina rumah mereka sekelurga.

“Ketika kejadian, saya tidak jauh dari rumah. Tiba-tiba saya nampak asap di kawasan rumah dan nampak rumah sudah hangus,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Rohani Ariffin, 61, berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu berlaku terlalu pantas.

“Semasa kejadian, saya sedang tidur. Tiba-tiba dengar bunyi letupan di belakang rumah. Bila pergi ke dapur, saya lihat api penuh di bahagian siling,” katanya.

Difahamkan, kebakaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Bagi meringankan beban mangsa, TNB menerusi program Ziarah Asnaf TNB memperuntukkan RM100,000 buat kedua-dua keluarga itu.

Pengurus Besar (Bahagian Pembahagian TNB) Kedah, Zubir Hashim berkata, pihaknya menyediakan RM40,000 untuk pembinaan setiap rumah dan RM10,000 untuk peralatan dalam rumah.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika meninjau kawasan kejadian.

Menurutnya, pembinaan rumah berkonsep teres setingkat itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air ditanggung sepenuhnya oleh TNB.

Difahamkan, kedua-dua keluarga itu masih menumpang di surau berdekatan sementara rumah mereka siap dibina.

Sumber: Sinar Harian