Masjid Kekang Akidah Sesat Di Kedah

Mukhriz Mahathir bersalam dengan peserta semasa Majlis Perasmian Festival Masjid Serantau Kedah 2014 di Wisma Darul Aman, Alor Setar, kelmarin.
Muzakarah Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) sempena Festival Masjid Serantau Kedah 2014 di sini yang bermula semalam bertujuan mewujudkan kepimpinan masjid di rantau ini dalam kalangan generasi muda.

Pengasas dan Setiausaha Agung Forsimas, Drs. Hassan Basry berkata, demi kelangsungan institusi masjid, gerakannya harus diterajui dalam kalangan profesional dan intelektual.

Hassan yang juga bekas dekan di Universiti Islam Acheh turut melahirkan kebimbangannya terhadap ketandusan gerakan masjid membabitkan anak-anak muda di rantau ini.

“Golongan muda wajar ada dalam pimpinan masjid. Ini masjid ada tetapi di mana golongan muda Islamnya. Seperti yang kita ketahui masjid adalah institusi unggul yang mampu menjadi tempat berdakwah dan mengelakkan mereka terjerumus dalam arena yang menyesatkan.

“Wajar sekali golongan ini kini mempelopori gerakan masjid bukan sahaja di negara masing-masing tetapi di rantau ini. Saya berharap melalui forum ini kita dapat mencari penyelesaian ke arah itu,” katanya ketika ditemui selepas perasmian festival tersebut yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sini semalam.

Menurut Hassan, generasi muda adalah tunggak kepada dakwah melalui gerakan masjid dan sebagai pengganti kepada generasi yang semakin berusia.

“Saya gembira dengan inisiatif Dewan Pemuda Masjid Malaysia yang mengadakan perjumpaan ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pemuda Forsimas Acheh, Dr. Abdul Rani Usman, Forsimas yang kini telah bertapak di rantau Asia mempunyai keupayaan untuk menggerakkan dakwah dan intelektual dalam kalangan generasi muda.

“Sekiranya seluruh pemuda Islam di rantau ini bersatu di bawah institusi masjid, dakwah Islam dapat diperkukuhkan.

“Walaupun berbeza bangsa dan bahasa, namun kita bersatu di bawah institusi masjid demi penyatuan ummah,” katanya.

Forsimas lahir atas inisiatif Pimpinan Pusat Dewan Kemakmuran Masjid Aceh (PPDKMA) pada 2006 dan kini dianggotai aktivis termasuk pengurusan masjid dari Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Sempena festival lima hari itu, sebanyak 160 perwakilan terdiri daripada para ulama, imam-imam dan cendikiawan Islam dari seluruh dunia berhimpun untuk menjayakan pelbagai aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di sekitar negeri ini.

Perwakilan dari Malaysia, Sudan, Indonesia, Singapura, Australia, Thailand, Hong Kong dan Filipina itu akan berkampung untuk menyertai pelbagai aktiviti anjuran Dewan Pemuda Masjid Malaysia dan Forsimas dengan kerjasama kerajaan negeri. -Utusan