DAHULU lelaki ini bercita-cita ingin menjadi paderi lalu dia menjadi
Altar Boy iaitu pembantu paderi semasa muda. Namun selepas didera dia
membatalkan niat itu dan mula ‘menjualkan’ dirinya kepada dunia.
Namun, hidayah milik Allah.
Setelah melalui perjalanan yang beronak liku, Adam Warren Fernandez, 33, memeluk Islam pada 18 Julai lalu.
“Sejak kecil impian saya nak jadi paderi, lalu
saya jadi altar boy (pembantu paderi) semasa muda. Akan tetapi impian
musnah bila saya didera seorang lagi budak pembantu. Sejak itu saya tak
kenal cinta dan keperikemanusiaan, saya jual jiwa pada syaitan.
“Akan tetapi Allah masih mencintai saya
lalu menurunkan dua hidayah. Satu, semasa hampir menemui ajal dalam
kemalangan di mana saya bertemu dengan lembaga tinggi berjubah putih dan
satu lagi, semasa insiden puting beliung di Texas.
“Pertemuan dengan beberapa
insan istimewa juga mengajar saya erti cinta dan merealisasikan impian
untuk syahadah, satu acara anjuran Karangkraf Media,” katanya.
Buat mereka
yang ingin mengetahui lebih lanjut kisah penghijrahan Adam, bolehlah
menontonnya di saluran Astro 502, jam 7.30 petang ini.
Memetik kisahnya di Harian Metro, bekas pengacara Selamat Pagi
Malaysia (SPM) di RTM ini berkata cabaran utama selepas memeluk Islam
bukanlah menyesuaikan diri dengan dunia saudara baru seperti
berpuasa tetapi penerimaan keluarga dan pandangan rakan-rakan.
Akuinya, bukan mudah bagi keluarga untuk menerima berita
penghijrahannya kerana mereka memang kuat berpegang pada agama Kristian,
malah ada yang menjadi paderi.
Ibunya pula seolah-olah dalam dilema untuk merestui jalan dipilih Adam kerana mendengar kata-kata orang sekeliling.
Namun, Adam sentiasa berdoa semoga dilembutkan hati ibunya, begitu juga ahli keluarga yang lain.
“Biar mereka membuang saya, tetapi hubungan kekeluargaan yang
terjalin tetap dipertahankan supaya tidak putus. Berbeza kepercayaan
bukan bermakna harus memutuskan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Menurut Adam, ibunya yang menetap di Texas, Amerika Syarikat, berada
di Kuala Lumpur ketika dia melafazkan syahadah kerana bercuti selama dua
bulan.
“Ada yang menghubungi dan bertanya adakah saya benar-benar yakin
dengan jalan dipilih. Mereka bimbang saya melakukannya kerana terpaksa
atau didesak pihak tertentu malah mengajak saya kembali kepada agama
asal,” katanya.
Menurut Adam, itu yang ditakutinya kerana sebelum ini ada dua ahli
keluarganya memilih Islam tetapi tidak lama selepas itu kembali kepada
agama asal.
Adam berharap keluarga dan rakan menghormati jalan dipilihnya dan
tidak cuba memperlekehkan dirinya dengan memancingnya melakukan sesuatu
yang melanggar agama.
Kini, dia bersyukur kerana penghijrahannya dipermudahkan Allah dan
gembira melalui kehidupan baru. Dia mula menimba ilmu agama dengan
menyertai kelas agama. Azamnya, setahun dari sekarang mahu menghafaz
al-Quran.
Adam turut berminat menyertai Usrah Fitrah yang mengumpulkan ramai
selebriti dan artis yang ingin menimba ilmu dan mendalami agama Islam.
Semoga Adam tabah melalui segala ujian dan cabaran dilaluinya. Jangan lupa menonton kisahnya, petang nanti.
Sumber: Mynewshub.cc