Mengapa Orang Muda Payah Contohi Mastura?

Mungkin tidak ramai di kalangan anak muda yang kenal dengan nama Mastura Mohd Rashi seorang anak muda yang berjiwa besar dan memiliki jati diri untuk melatih diri dengan nilai-nilai murni pada dirinya.

Masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Sains Kemanusiaan, dia masih sempat melakukan aktiviti kemasyarakatan dan menabur bakti bersama rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi yang sudi bergabung tenaga dengannya.

Apa yang dilakukan cukup mudah, namun tidak ramai golongan muda yang terfikir mencontohi sikapnya yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Mastura hanya mengumpulkan rakan-rakan untuk menjayakan projek yang diberi nama "The Nasi Lemak Project, di mana mereka memasak nasi lemak dan mengedarnya kepada golongan gelandangan yang ada di ibu negara.

Membanggakan, projek berkenaan timbul dari inisiatif diri sendiri dan semua bajet aktiviti tersebut pada mulanya dari poket sendiri sebelum menerima pembiayaan dari Kedutaan Amerika Syarikat di bawah Yayasan Muhammad Ali sebanyak RM10,000.


Ekoran kerja-kerja murni yang dilakukan secara konsisten sejak tahun 2012, Mastura dan Projek Nasi Lemaknya itu diterbangkan ke Kentucky, Amerika Syarikat, baru-baru ini untuk menerima Anugerah Khas Muhammad Ali.

Persoalannya, mengapa tidak ramai anak-anak muda yang tergerak hati untuk mencontohi Mastura dan aktiviti-aktiviti yang berfaedah?



Selain aktiviti merempit, dijadikan alat politik segelintir pihak, berdemonstrasi jalanan, melepak, berkonvoi tanpa topi keledar, berkonsert, berlaman sosial siang dan malam serta melakukan aktiviti yang kurang berfaedah, mengapa tidak timbul inisiatif sihat seperti Mastura?

Harapnya generasi muda "bakal pemimpin masa depan" boleh jawab persoalan itu di dalam hati masing-masing. Wallahu'alam... -KedahNews.com