#MH17: Jasad 6 Beranak "Bersatu" Di Aidiladha... Al-Fatihah

Petra Jaya: "Mereka sekeluarga ingin pulang untuk menyambut Aidilfitri tetapi akhirnya bersama ketika sambutan Aidiladha. Syukur, akhirnya enam beranak ni bersatu semula, walaupun di alam lain, " kata Mardiah Jiee, kakak kepada Tambi Jiee yang terkorban bersama isteri dan empat anaknya dalam nahas pesawat MH17 yang dikebumikan berdekatan di Tanah Perkuburan Islam Samariang di sini.

 Mardiah ketika ditemui di Pangkalan Tentera Udara Kuching di sini berkata, sejak tragedi itu mereka sekeluarga tidak putus berdoa supaya mayat enam beranak ini segera dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah air.

"Walaupun pulang secara berperingkat tetapi jasad mereka tetap disemadikan di kawasan perkuburan yang sama. 

"Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam proses membawa pulang jenazah dan orang ramai yg turut tidak putus memberikan semangat kepada kami sekeluarga," katanya.

Hari ini, jenazah ahli keluarga Tambi yang terakhir Muhammad Afruz Tambi, 13, selamat dikebumikan bersebelahan pusara lima ahli keluarganya kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Terdahulu jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Kuching selepas Solat Jumaat dengan diimamkan Imam Bahagian Majlis Islam Sarawak Abdul Aziz Wan Yusof.

Di tanah perkuburan, talkin dibacakan oleh Penolong Ketua Imam Besar Negeri Mohd Ihsan Haidzir.

Pada 22 Ogos lalu, jenazah ibu Ariza Ghazalee dan abang sulung Afruz, Muhammad Afif selamat dibawa pulang ke Kuching.

Pada 9 September, jenazah Tambi dibawa pulang dan disemadikan di tanah perkuburan sama dan diikuti, jenazah abangnya Muhammad Afzal serta kakaknya Marsha Azmeena pada 19 September lalu.

Enam beranak ini antara mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.  -myMetro