Mohon Tukar Nama "Akta Peniaga Sekendhend 1946" Dan Sewaktu Dengannya...

Mungkin digubal dan tercipta ketika di zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan, terdapat beberapa akta yang namanya agak janggal atau lebih tepat lagi "ikut sedap mulut saja", dan mungkin akan menyebabkan kita ketawa mendengarnya.

Percaya atau tidak, antara akta berkenaan termasuklah seperti Akta Peniaga Sekendhend 1946 seperti yang tertera pada gambar di atas.

KedahNews.com yakin bahawa berkemungkinan di ketika itu, bahasa Melayu agak kurang perbendaharaan katanya dan tidak sekaya sekarang di mana terbitnya pelbagai perkataan baharu yang lebih sofistikated.

Mungkin diceduk dari ungkapan bahasa Inggeris, "Second hand", akta tersebut difahamkan merujuk kepada akta-akta berkaitan barang-barang terpakai yang diniagakan oleh ahli perniagaan di negara kita.

KedahNews.com tertanya-tanya, apakah tiada sebarang inisiatif yang dapat diambil oleh pejabat Peguam Negara atau Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mentransformasikan nama akta berkenaan kepada nama yang lebih sesuai berdasarkan zaman serba millenium ini?

Contohnya, mungkin "Akta Peniaga Sekendhend 1946" itu boleh ditransformasikan kepada nama baru seperti "Akta Peniaga Barangan Terpakai 1946" atau nama lain yang lebih sesuai.

Kami memohon maaf sekiranya persoalan yang ditimbulkan ini membuat Peguam Negara atau pihak terbabit tersinggung. 

Namun ikhlasnya KedahNews.com hanya meluahkan pandangan secara membina tanpa niat memperlekeh mana-mana pihak dalam soal ini. Harap maklum. -KedahNews.com