NGO Tuduh PAS Punca Konflik, Desak Keluar Dari Pakatan

Sebuah NGO mewakili anak muda mendakwa PAS merupakan punca sebenar kekecohan di dalam Pakatan Rakyat dan mendesak supaya parti Islam itu keluar dari gabungan parti-parti politik pembangkang itu segera.

Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) menegaskan, PAS gagal mengawal para pemimpin dan ahlinya dari mengeluarkan kenyataan yang mencetus perbalahan di antara parti-parti pembangkang itu, sekaligus menjejaskan imej Pakatan Rakyat di mata rakyat.

"Lensa berpendirian sekiranya PAS gagal bertindak tegas terhadap kelompok dalam PAS yang terus menerus mewujudkan konflik sesama PR maka Lensa mencadangkan PAS mengambil langkah berundur daripada PR," kata NGO itu yang dipetik dari laman pro-pembangkang, Malaysian Insider.

Wakil-wakil NGO yang terdiri dari beberapa anak muda itu turut menyerahkan memorandum gesaan tersebut kepada wakil PAS di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, semalam.

Selain itu, Lensa juga berpandangan bahawa PAS harus dipersalahkan berhubung kemelut Menteri Besar Selangor baru-baru ini atas alasan pendirian parti itu yang dikatakan sering berubah-ubah mengenainya.

Koordinator Lensa Ekhsan Bukharee berkata, konflik yang berlaku di dalam Pakatan Rakyat sepatutya boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat, namun disebabkan sikap PAS itu maka kemelut tersebut telah diheret sehingga lima bulan.

Lensa turut mengecam sikap beberapa pemimpin PAS yang begitu vokal menghentam kepimpinan parti lain di dalam Pakatan Rakyat yang dianggap merugikan gabungan parti-parti pembangkang berkenaan.

Katanya, berdasarkan analisis yang dijalankan NGO itu menerusi beberapa forum, mereka berpendapat bahawa majoriti persoalan yang dilontarkan merujuk kepada pertikaian mengenai sikap PAS yang sebagai penyebab konflik berlaku.

Turut hadir menyerahkan memorandum itu adalah Pengarah Eksekutif Lensa, Safwan Anang, yang terkenal menyebelahi PKR dan aktif menyertai pelbagai himpunan demonstrasi jalanan anjuran parti pembangkang selain mendakwa dirinya "wakil mahasiswa". -KedahNews.com