KUALA LUMPUR – Raja Ahmad Shahir Iskandar Raja Salim dan isterinya
Nurul Izzah Anwar masih cuba mencari penyelesaian terbaik untuk
menyelesaikan isu hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan Anggota
Parlimen Lembah Pantai itu pada April lepas.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili
Raja Ahmad Shahrir, ketika ditemui media di luar mahkamah selepas kes
itu disebut di dalam kamar Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Amran
Mat Zain hari ini.
Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Normawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah.
Namun, pasangan suami isteri itu tidak menghadiri prosiding berkenaan.
Azmi berkata pihak plaintif (Nurul Izzah) telah menghantar draf
perjanjian berhubung cadangan hak penjagaan kedua-dua anak mereka
menerusi e-mel kepada suaminya minggu lepas.
Azmi, yang enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai draf perjanjian
berkenaan, berkata Raja Ahmad Shahir Iskandar memerlukan masa untuk
meneliti cadangan berkenaan.
“Mahkamah turut mengarahkan defendan (Raja Ahmad Shahir) memasukkan
pembelaan sekiranya tiada jalan penyelesaian berhubung isu hak penjagaan
anak.
8 Dis ditetapkan untuk sebutan,” katanya. Nurul Izzah, yang juga Naib
Presiden PKR, memfailkan permohonan hadanah itu pada 30 April lepas
mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah
Persekutuan 1984.
Pada awal Januari lepas, Nurul Izzah yang juga anak sulung Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan cerai
terhadap Raja Ahmad Shahir mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Seksyen itu menyentuh pembubaran perkahwinan yang memperuntukkan perceraian dengan talak atau dengan perintah mahkamah.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003
dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang
anak lelaki berusia empat tahun. – BERNAMA