Owen, Figo, Kluivert, Cannavaro Bakal Beraksi Di Malaysia!

Global Legends Series (GLS) akan menampilkan beberapa pemain legenda dunia untuk beraksi dalam siri perlawanan di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha amal pasukan itu termasuk mengutip dana dan pembangunan belia di negara yang mereka lawati.

Siri perlawanan amal itu akan bermula di Bangkok, Thailand sebelum beralih ke China, Jepun dan Malaysia pada 2015.

Pengasas bersama GLS, Fabio Cannavaro, berkata beliau mahu meninggalkan legasi di mana sahaja mereka beraksi dan akan berkongsi idea baik itu bersama belia di semua negara berkenaan.

"Saya ingin melakukan sesuatu di Asia kerana saya melihat Asia adalah masa depan bola sepak.

"Saya ingin berkongsi semangat ini dengan masyarakat terutama anak-anak muda di rantau ini," kata bekas ketua pasukan Itali itu kepada pemberita di pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, Isnin.

GLS terdiri pemain legenda dari seluruh dunia yang membantu pasukan atau negara mereka meraih gelaran dalam beberapa kejohanan bola sepak berprestij seperti Piala Dunia, Kejohanan Euro, Liga Juara-Juara atau mereka yang membuat penampilan 50 kali bersama negara masing-masing seperti Michael Owen, Patrick Kluivert dan Luis Figo.

Perlawanan pertama GLS akan berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok pada 5 Dis ini.

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tiket perlawanan itu dengan melayari laman web www.glsfootball.com.