PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU – Palestin menggesa Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mendesak Israel agar
membatalkan segera hasratnya untuk membina lebih banyak rumah di
kawasan pendudukan Yahudi, pada mesyuarat tergempar bagi meredakan
ketegangan di timur Baitulmaqdis.
Majlis keselamatan 15 anggota itu mengadakan pertemuan semalam atas
permintaan Jordan selepas Israel mengumumkan rancangannya Isnin lalu
untuk membina 1,000 rumah baharu di timur Baitulmaqdis – di kawasan yang
dianggap oleh rakyat Palestin sebagai ibu negara masa depan mereka.
“Israel sebagai pihak yang menceroboh, mesti didesak supaya
menghentikan dengan serta-merta dan sepenuhnya semua aktiviti haram
pendudukannya di seluruh wilayah Palestin, termasuk di timur
Baitulmaqdis,” kata Duta Palestin, Riyad Mansour pada mesyuarat itu.
Mesyuarat berkenaan tidak merumuskan sebarang resolusi ataupun mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya yang mengutuk Israel.
Namun Israel tetap diberikan kecaman oleh beberapa negara termasuk
Amerika Syarikat, yang mahukan tindakan sebelah pihaknya dihentikan
termasuk perluasan kawasan pendudukan.
“Tindakan untuk memperluaskan aktiviti pendudukan akan hanya
meningkatkan ketegangan yang sudah cukup tegang,” kata wakil Amerika
Syarikat, David Pressman.
Duta Britain, Mark Lyall Grant memberi amaran bahawa pembinaan rumah
Yahudi yang sedang dilakukan di wilayah Palestin menyebabkan sukar bagi
rakan Israel mempertahankannya daripada tuduhan yang ia tidak serius
untuk mencapai perdamaian. – AFP