PAS Perlis Isytihar Haramkan PasMa, PAS Kedah Bila Lagi?

Seluruh ahli PAS di negeri Perlis yang berhasrat untuk menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) diberi kata dua untuk memilih sama ada kekal di dalam parti dan tidak menyertai pertubuhan itu atau sebaliknya.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, ahli PAS yang berhasrat untuk menyertai PasMa dikehendaki meninggalkan parti itu serta merta sebagaimana yang digariskan oleh pimpinan tertinggi PAS, Majlis Syura Ulama.

"Bagi Ahli yang masih juga berhasrat untuk bersama PasMa mereka hendaklah meninggalkan PAS.

"Pilih satu saja sebagai wadah perjuangan," kata Mohd Shukri yang dipetik dari laman rasmi Facebook PAS Negeri Perlis.

Menegaskan larangan menyertai PasMa berkuatkuasa serta merta, Pesuruhjaya PAS Perlis itu juga melarang mana-mana premis milik PAS di negeri itu dari dijadikan tempat penyebaran dakyah pertubuhan tersebut.

Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh menegaskan larangan pada ahli-ahli parti itu dari menyertai PasMa, namun dipertikai oleh Presiden pertubuhan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Phahrolrazi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Pengkalan Kundor, merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah mendakwa Majlis Syura tiada hak untuk membuat keputusan tersebut.

Kata Phahrolrazi, PasMa bukan merupakan pertubuhan politik dan hanyalah merupakan sebuah pertubuhan kebajikan.

Bagaimanapun, kenyataan itu dilihat bertentangan dengan kecenderungan partubuhan itu yang dilihat sering berbincang, bermunaqasyah serta berdialog tentang soal politik berbanding melakukan aktiviti kebajikan sebagaimana yang didakwa Presidennya.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar, masih lagi "membisu" berhubung keterlibatan Timbalannya yang menjadi pemimpin tertinggi PasMa, termasuk belum melarang keterlibatan ahli PAS di Kedah dari menyertai pertubuhan itu. -Amir Hamzah Al-Asad/UtaraNews.com