KUALA LUMPUR – PAS mengakui parti itu terpaksa mengalah dengan DAP
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi masa depan politiknya dalam Pakatan
Rakyat.
Menyifatkan pernah ‘disiku’ oleh rakan sekutunya itu, Ahli Parlimen
Shah Alam, Khalid Samad bagaimanapun berkata, parti itu perlu bertahan
jika ingin terus bersama dengan DAP dan PKR.
“Kita kena faham adat berkawan, kalau dulu biasanya main
sendirian, tapi sekarang dah ada kawan. Tak boleh kememeh (manja), main
bola dengan kawan pun kadang-kadang kena siku.
“Lalu relakslah. Kalau kena siku…balik rumah beritahu mak
ayah dibuli, takut-takut akhirnya tak ada orang nak kawan,” katanya di
Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2015 di sini.
Bagaimanapun, Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS menegaskan
bahawa parti tidak pernah dibuli oleh DAP dan PKR ketika berada dalam
Pakatan Rakyat sejak penubuhannya pada 2008.
“Dari segi dakwaan buli yang disebut oleh Yang Berhormat (YB) Ketereh
(Tan Sri Annuar Musa) khususnya mengenai PAS dalam Pakatan Rakyat, saya
ingin nyatakan secara jelas bahawa dalam pakatan ini, PAS tidak
dibuli,” katanya.
Sebelum ini, ketika membahaskan RUU yang sama, Annuar mendakwa PAS
sering menjadi mangsa buli oleh DAP dan PKR dalam pelbagai perkara
termasuk yang terbaharu membabitkan isu pelantikan Menteri Besar
Selangor. - mStar Online