PasMa: PAS Kedah Tidak Haramkan, Cuma Patuh Nasihat Tidak Sertai

Seluruh ahli PAS di negeri Kedah diminta untuk mematuhi "nasihat" Majlis Syura Ulama PAS agar tidak menyertai NGO, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sejajar dengan ketetapan yang diputuskan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah.

Setiausahanya, Musoddak Ahmad di dalam kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh PAS Negeri Kedah dalam satu mesyuarat yang berlangsung pada 25 Oktober lalu.

"Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri kedah yang diadakan pada 25 Oktober 2014 mengambil sikap untuk mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS supaya ahli-ahli PAS tidak menyertai NGO Pertubuhan Pertubuhan Angkatan Sejahtera Malaysia (PasMa)," kata kenyataan tersebut.

Jelas Musoddak, keputusan tersebut adalah berdasarkan "nasihat" dari Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Oktober lalu yang memetik kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, supaya tidak berlaku insiden "jemaah di dalam jemaah" di dalam PAS.

Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah turut mendakwa keputusan badan tertinggi PAS itu sebagai "nasihat" kepada ahli-ahlinya supaya tidak menyertai PasMa.

Tiada sebarang kenyataan dari Musoddak yang menegaskan larangan atau tegahan terhadap ahli-ahli PAS di Kedah dari menyertai pertubuhan itu.

"Majlis Syura Ulamak dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu memetik peringatan Presiden PAS dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jamaah dalam jamaah, parti dalam parti.

"Maka Majlis Syura Ulamak memberi nasihat kepada ahli-ahli PAS supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PasMa," jelas Musoddak dalam kenyataan rasmi PAS Kedah itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi merupakan Presiden PasMa dan sehingga kini tiada sebarang tindakan yang berani diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun PAS) Pengkalan Kundor itu.

Phahrolrazi yang merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah sebelum ini difahamkan bergaduh besar dengan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sehingga mencetuskan huru-hara di dalam PAS Kedah. -Amir Hamzah/UtaraNews.com