PDRM Ada Bukti Ahli Politik Terima Hasil Judi - Zahid

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri tidak menafikan terdapat ahli politik yang mendapat dana dan hasil pendapatan daripada wang perjudian haram untuk menjalankan kegiatan politik.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan laporan yang diperoleh daripada pihak polis, terdapat penglibatan ahli politik secara tidak langsung dengan sindiket terbabit dan meminta parti politik berkenaan mengambil tindakan segera terhadap individu tersebut.

“Mungkin ada ahli politik yang peroleh wang pendapatan hasil perjudian untuk melakukan kegiatan politik, saya tidak sebut parti politik kerajaan atau pembangkang tetapi laporan yang saya dapat memang ada ahli politik terlibat.

“Kalau dalam pilihan raya lalu kita mendapat tahu ada laporan bahawa terdapat parti politik yang dibiayai oleh wang perjudian, saya tidak mahu menuduh tetapi kalau mahu pembuktian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh keluarkan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama ahli-ahli Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi di Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas pendedahan Utusan Malaysia hari ini mengenai terdapat ahli politik yang melindungi sindiket haram tersebut bagi memastikan sindiket mesin judi haram terbabit tidak terjejas dan akan terus dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Dalam laporan itu, Utusan Malaysia turut mendedahkan mengenai kewujudan kasino haram di Pulau Kuala Sangga, Perak dan premis perjudian haram yang terus beroperasi di Melaka biarpun berkali-kali diserbu.

Tegas Ahmad Zahid, dalam isu perjudian dan kegiatan jenayah, parti politik tidak boleh bersengkokol dengan individu dan pertubuhan haram dalam menyokong aktiviti yang dijalankan itu.

Mengulas lanjut katanya, bagi memerangi kegiatan perjudian haram itu pihaknya telah menubuhkan sebuah pasukan Taktikal Tiga dan menjalankan operasi secara berterusan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lembaga air negeri dan syarikat air untuk menjalankan penguatkuasaan bersama PDRM.

Ahmad Zahid turut mengalu-alukan pendedahan yang dibuat oleh Utusan Malaysia dan yakin masalah tersebut dapat dikurangkan biarpun bukan mudah untuk menghapuskannya 100 peratus.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi menggesa supaya satu garis panduan dan kursus diberikan kepada penunggang bermotosikal besar berikutan berlaku banyak kematian melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi sejak akhir-akhir ini. -Utusan