Pecat Iszuree Tanpa Siasatan Dalaman - Setiausaha Politik Guan Eng


Pemecatan Bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dari semua jawatan yang disandangnya di dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diakui tidak dibuat melalui kaedah proses siasatan dalaman.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hoi Wai berkata, siasatan dalaman tidak perlu dibuat memandangkan Iszuree telah menyerang Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng secara terbuka dikhalayak ramai serta mendapat liputan media secara meluas.

Katanya, Bendahari PAS Negeri itu telah diberi peluang untuk membuat penjelasan mengenai herdikannya terhadap kepimpinan Guan Eng, namun dia gagal untuk berbuat demikian.

"Beliau sudah diberi peluang menjelaskan perkara sebenar kepada media kerana perkara ini dibangkitkan menerusi media, tetapi beliau secara berterusan mengkritik kepimpinan kerajaan negeri," katanya dalam satu sidang media di George Town, semalam.

Dalam ucapannya di Muktamar PAS ke-60 di Johor baru-baru ini, Iszuree begitu lantang mengkritik pedas kepimpinan Setiausaha Agung DAP itu di Pulau Pinang berhubung isu perumahan di Pulau Mutiara itu.

Difahamkan oleh media bahawa suasana sidang media Hoi Wai itu berlangsung dalam suasana tegang selepas Setiausaha Politik Guan Eng itu gagal memberi alasan tentang Iszuree yang tetap dikenakan tindakan walaupun selepas mendakwa sebuah portal pro-pembangkang tidak melaporkan isi ucapannya dengan tepat.

Dalam perkembangan berkaitan, Iszuree dilaporkan mengaku telah menerima surat penyingkirannya dari MPPP.

Namun katanya, surat berkenaan tidak menyatakan alasan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu biar pun Iszuree telah menjadi ahli majlis MPPP sejak tahun 2010.

Surat bertarikh 26 Sept itu turut memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 25 September lalu telah memutuskan menyingkirkan Iszuree daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP, di mana beliau merupakan seorang ahli dan membekukan semua peruntukan yang dinikmatinya sebelum ini.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut memaklumkan bahawa beliau akan menyampaikan memorandum yang mengandungi 19 tandatangan ahli MPPP yang mahu agar Iszuree dipecat kepada Exco kerajaan negeri yang bermesyuarat pada rabu ini.

Difahamkan bahawa memorandum tersebut bakal diserahkan oleh wakil ahli MPPP, Harvinder Singh. -KedahNews.com










Iszuree disingkirkan daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP berikutan ucapan dasar bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Baharu baru-baru ini yang menegur kerajaan negeri berhubung isu perumahan.

Sidang media yang diadakan berlangsung dalam suasana tegang selepas Wong gagal membuat penjelasan mengapa Iszuree tetap dikenakan tindakan walaupun selepas mendakwa portal berita propembangkang tidak melaporkan dengan tepat perkara yang dibangkitkan beliau dalam Muktamar PAS itu.

Iszuree dilaporkan berkata beliau menerima surat mengeluarkannya daripada MPPP, namun surat berkenaan tidak menyatakan alasan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu biar pun Iszuree telah menjadi ahli majlis itu sejak 2010.

Surat bertarikh 26 Sept itu memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 25 Sept memutuskan mengeluarkan Iszuree daripada semua Jawatankuasa Tetap, MPPP yang beliau merupakan seorang ahli dan membekukan semua peruntukan.