Pekan Rabu: Proses Bina Semula Tergendala

JERLUN - Pembinaan semula Pekan Rabu Alor Setar yang sepatutnya bermula November depan terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat beberapa masalah kecil yang menyebabkan proses pembinaan bangunan baharu itu tergendala.
  
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, masalah itu berpunca daripada sikap segelintir peniaga yang enggan berpindah ke tapak sementara iaitu di bangunan Ukir Mall di sini bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu Pekan Rabu dilakukan dengan segera.
  
Katanya untuk mengatasi masalah itu, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad bagi mencari penyelesaian perkara itu.
  
"Ada sebahagian kecil peniaga yang tidak setuju (untuk berpindah ke tempat sementara) tetapi kita lihat atas kepentingan tertentu. Kita sangat perlukan kerja-kerja untuk mengubah semula Pekan Rabu dijalankan secepat mungkin.
  
"Kalau ada segelintir pihak ini yang tidak bersetuju kita masih beri keutamaan kepada permintaan yang ramai, jadi mereka perlulah kerjasama untuk jaga kebajikan semua pihak," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Korban Perdana di Wisma Umno Jerlun di sini, hari ini.

Projek membina semula Pekan Rabu itu yang melibatkan kos RM53 juta adalah untuk menyediakan sebuah kompleks perniagaan moden bagi keselesaan para peniaga serta pengunjung.
  
Sementara menunggu pembinaannya siap, peniaga sedia ada ditempatkan di bangunan Ukir Mall untuk tempoh dua tahun, bagi pembinaan bangunan baharu itu dan mereka sepatutnya berpindah pada 1 Ogos lepas.
  
Pembinaan bangunan itu dijangka siap pada 2016 yang akan menyediakan kemudahan kepada 277 peniaga yang menjalankan pelbagai perniagaan seperti barangan makanan dan pakaian selain kraftangan tempatan serta produk perusahaan kecil dan sederhana (IKS).
  
Mengikut perancangan pembinaan semula kompleks Pekan Rabu itu dijangka meningkatkan purata perolehan koperasi sebanyak enam peratus iaitu RM720,000 setahun sekarang kepada RM760,000 setahun.
  
Pekan Rabu Alor Setar merupakan tumpuan masyarakat sejak 1900 dan kini menjadi antara lokasi ikonik negeri Kedah dan bandar raya ini. Bangunan sedia ada dibina pada 1975 dengan kos RM3.2 juta dan diubah suai buat pertama kali pada 1995 dengan belanja RM6.5 juta apabila dinaik taraf menjadi kompleks pasar moden.
  
Pada majlis korban perdana itu, sembilan ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan. - Bernama