"Pelik Bin Ajaib": TMI Puji Fahmi Lambang Kerosakan Warga UM?

Agak menarik untuk mengulas tulisan The Malaysian Insider (TMI) yang menyifatkan program Anwar di Universiti Malaya (UM) sebagai sebuah kejayaan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol.

Lebih melucukan, TMI dalam "propaganda"nya mendakwa ramai yang memuji Fahmi atas tindakannya yang melanggar peraturan universiti, mengutamakan agenda politik, bertindak diluar batasan dan mencemar nama baik UM!

Tidakkah penulis TMI baca komen-komen di bahagian bawah artikelnya yang lebih banyak mengecam dan mengkritik pedas tindakan "bodoh-diperpodohkan" Fahmi itu?

Penulis agak hairan, bagaimana akal penulis TMI menganalisa di antara perbezaan tindakan yang baik dan buruk.

Fahmi terang-terangan melanggar peraturan universiti yang tidak membenarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan pidato umum di dalam kawasan universiti berkenaan.

Apakah wajar bagi akhlak seorang pemimpin pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan? Apakah itu satu tindakan yang baik budi pekertinya dan bertamadun dari seorang yang bergelar mahasiswa?

Fahmi melontarkan persoalan tentang mengapa tidak dia memperjuang suara Anwar di dalam kampus UM memandangkan Ketua Pembangkang itu salah seorang alumni universiti berkenaan.

Pada penulis, jawapannya ialah kerana Anwar bukanlah seorang pelajar UM yang cemerlang, sering menimbulkan masalah, terlibat dengan pelbagai kontroversi, isu moral yang tidak berkesudahan dan memberi contoh yang kurang baik berbanding alumni yang lain.

Misalnya, penulis yakin bahawa pihak pengurusan UM akan membantah jika Fahmi menganjurkan program berbentuk politik ilmiah dengan mengundang Profesor DiRaja Ungku Aziz sebagai pemidato mewakili Alumni universiti itu.

Ungku Aziz juga Alumni UM dan sebagai bekas Naib Canselor UM, sudah tentu beliau jauh lebih berkreadibiliti berbanding Anwar dalam dunia perjuangan seorang mahasiswa yang cintakan ilmu, bukan?

Apakah memecahkan pagar dan menceroboh masuk membawa anasir-anasir negatif ke dalam pusat pengajian tinggi tertua itu boleh dianggap sebagai satu "kejayaan"?

Persoalan ini rasanya tidak perlu dijawab memandangkan semua individu yang waras tahu ia adalah satu tindakan yang sama sekali salah dari sudut perundangan mahupun akhlak!




Sekiranya benar pun sekali mahu membantah pihak pengurusan UM, apakah itu cara yang paling "intelek", sesuai, wajar, adil dan dianjurkan oleh agama Islam yang dianuti Fahmi? Rasanya ada pendekatan yang lebih berhikmah berbanding rempuhan dan ceroboh, bukan?

Hasil dari tindakan Fahmi itu, secara tidak langsung ia telah mencemarkan nama baik UM di persada institusi pengajian tinggi negara. Ramai pihak mungkin akan menuding jari mengatakan UM kini melahirkan graduan yang kurang ajar dan suka memberontak.

Agaknya, majikan manakah yang sudi menawarkan kerja pada graduan ganas, tidak bertamadun, tidak berdisiplin, melanggar peraturan dan sangat berpotensi mencemar nama baik syarikat?

Penulis memohon pada semua pihak untuk tidak berat sebelah dan melontarkan sebuah gaya pemikiran yang sangat "pelik" sebagaimana yang ditunjukkan oleh TMI.

Maaflah TMI, bukan berniat untuk merendahkan portal berkenaan, namun di sebalik penulisan itu ramai yang akan memandang rendah pada portal anda. Anda mahu begitu? Penulis harap, TMI akan berubah... -Amir Hamzah/UtaraNews.com