Pemilik Enggan Bayar Wang Perlindungan, Premis Kereta Terpakai Dibakar!


Sebuah premis menjual kereta import terpakai musnah dipercayai dibakar kumpulan kongsi gelap selepas pemilik premis itu dikatakan enggan membayar wang perlindungan kepada kumpulan terbabit dalam kejadian di Batu 4, Jalan Ipoh, baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, seorang pekerja premis dikatakan melihat kelibat dua lelaki mencurah petrol sebelum membakar tempat meletak kereta terpakai yang mengakibatkan 18 kereta pelbagai model hangus terbakar.

Pekerja premis itu berkata, dua suspek itu melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang premis dan terus menghilangkan diri sebaik melihatnya.

“Pekerja berkenaan tidak sempat mengejar dua suspek kerana api marak merebak ke belakang premis sebelum dia menghubungi bomba bagi memadamkan kebakaran,” kata pekerja itu yang dipetik dari Hmetro.com.my.

Ini adalah kejadian ketiga dalam tempoh setahun di mana premis itu cuba dibakar kumpulan kongsi gelap di kawasan Sentul selepas pemilik premis tidak menurut kemahuan mereka untuk membayar wang perlindungan RM10,000, sebulan. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com