Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Suhaizan Kayat menegaskan pihaknya mewakili Pemuda PAS akan menyertai bantahan kenaikan harga petrol dan diesel yang akan diadakan pada 8 Oktober di hadapan Bangunan Parlimen nanti.
Suhaizan berkata, tindakan tersebut dianggap wajar kerana kenaikan harga petrol dan diesel telah membebankan rakyat di negara ini.
"Sebagai negara pengeluar minyak petroleum, rakyat berhak menimati pelbagai kemudahan hasil dari kekayaan bumi di negara sendiri.
"Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kenaikan harga petrol yang terlalu membebankan ini," katanya dipetik MyNewsHub.
Justeru itu, Suhaizan berkata, dia dan beberapa wakil dalam DPPM akan bersama-sama pemuda PAS menyertai bantahan yang telah rancang sebelum ini bagi membela nasib rakyat.
Tegasnya lagi, bantahan tersebut dilakukan sebagai amaran kepada kerajaan pusat terhadap tindakan mereka menaikan harga minyak tanpa memikirkan kesan yang akan ditanggung oleh penduduk di negara ini.
"Tunjukkan kemarahan kita terhadap kenaikan harga petrol dan diesel ini kerana sudah tidak tertahan dengan bebanan hidup yang meningkat ini," jelasnya lagi. – KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor