PUTRAJAYA – Esok, pihak pendakwaan akan menyanggah hujah pihak
pembelaan dalam rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di
Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman
penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan meliwat bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata
oleh kerana pihak pembelaaan menambah alasan baharu dalam rayuan itu,
maka pasukan pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti penghujahan yang
begitu panjang.
“Saya akan bermula dengan membentangkan fakta kes. Saya seorang
sahaja yang akan membentangkan penghujahan,” katanya kepada pemberita di
luar Mahkamah Persekutuan di sini hari ini selepas prosiding rayuan itu
ditangguh.
Beliau berkata hanya baru-baru ini pihak pendakwaan menerima
penghujahan itu, termasuk alasan baharu yang ditambah dalam petisyen
rayuan daripada pihak pembelaan.
Katanya pihak pendakwaan sudah menyiapkan 85 peratus daripada
penghujahannya dan perlu menyediakan 15 peratus lagi bagi alasan baharu
yang ditimbulkan pihak pembelaan.
Pasukan pembelaan mengakhiri penghujahannya hari ini setelah tiga
hari berhujah di hadapan panel lima anggota yang dipengerusikan Ketua
Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Mahkamah telah mendengar penghujahan daripada peguam bela utama Anwar
Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan,
serta peguam N. Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh.
Pada Selasa, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan mengemukakan 46 alasan dalam petisyen rayuan yang baharu.
Pada 24 April, Anwar memfailkan petisyen rayuan yang memberi 35
alasan kenapa Mahkamah Persekutuan perlu membebaskan beliau daripada
tuduhan meliwat, sejam sebelum berakhir tempoh yang disyaratkan beliau
berbuat demikian.
Anwar, 67, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium
Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10
petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan
hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. –
BERNAMA