Rita Rudaini, bekas isteri kepada pemain bola sepak tempatan, Aidil Zafuan, sangat kecewa dengan sikap bekas suaminya yang tidak membayarnya nafkah walaupun pendapatan bekas suaminya itu melebihi RM50,000 sebulan.
Kenyataan itu didedahkan Rita apabila ramai yang mengatakan tunggakan nafkah dan muta’ah yang dibuatnya sebagai melampau dan tidak masuk akal.
"Aidil pernah memaklumkan kepada saya bahawa dia memperoleh pendapatan lebih daripada RM50,000 sebulan berdasarkan kontraknya sebagai pemain untuk JDT dan FAM," jelas Rita.
Bukan itu sahaja, Rita juga ada menyatakan dengan gaji yang diperoleh bekas suaminya itu, Aidil juga mampu memiliki kereta mewah dan juga motor berkuasa tinggi.
"Oleh kerana defendan mempunyai pendapatan besar, beliau mampu memiliki kereta mewah iaitu Mercedes CL350 dan motosikal berkuasa tinggi Ducati Monster," kata Rita lagi.
Menurut dakwaan Rita, Aidil gagal membayar nafkahnya selama 20 bulan sejak Januari 2012 hinggalah mereka berdua bercerai pada Ogos tahun lalu dan tuntutan itu dibuat bagi menuntut haknya sebagai isteri yang gagal dibayar nafkah oleh suami semasa mereka hidup bersama dahulu.
"Sepanjang tempoh itu (20 bulan) defendan tidak pernah menghantar wakil untuk membayar nafkah kepada saya. Malah tiada sebarang wang simpanan atau barang berharga ditinggalkan kepada saya untuk digunakan sebagai nafkah.
"Tuntutan ini saya kemukakan bagi mendapatkan hak saya sebagai isteri yang gagal dibayar nafkah oleh defendan selain permintaan saya di luar mahkamah yang tidak diendahkannya," kata Rita bagi menjelaskan keadaan sebenar.
Selain itu, Rita berbuat demikian bagi menyedarkan bekas suaminya yang dianggapnya tidak matang dan bersikap lepas tangan dalam menguruskan hal rumah tangga mereka sebelum ini.
Rita yang sebelum ini menuntut tunggakan nafkah bernilai RM102,000 kepada Aidil.
Aktres itu juga turut membuat tuntutan muta’ah bernilai RM300,000 terhadap bekas suaminya.
Kedua-duanya adalah membabitkan kes yang berbeza. -Norhayati Shaharun/KedahNews.com