ALOR SETAR – Kedah sekali lagi mempamerkan persembahan bermutu untuk
menewaskan Pahang 3-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia
di Stadium Darulaman, malam ini.
Kemenangan berharga ini memberi modal selesa buat anak didik Tan
Cheng Hoe yang jelas menyajikan aksi penuh bertenaga di hadapan puluhan
ribu penyokong Helang Merah.
Pahang pimpinan Zainal Abidin Hassan memberi saingan, namun
penyudahan hambar mereka gagal membantu cabaran skuad Tok Gajah itu di
tempat lawan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam separuh akhir kedua di Kuantan, Jumaat ini untuk mengintai peluang ke final, bulan depan.
Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit kelapan hasil jaringan
cantik pemain import Korea Selatan, Namkung Wong yang menyudahkan
hantaran daripada Mohd Rizal Ghazali.
Pahang yang jelas pincang tanpa Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart
gara-gara digantung perlawanan bangkit dan hampir mahu menyamakan
kedudukan pada minit ke-16 tetapi usaha baik daripada Mohd Azamuddin Md
Akil gagal disempurnakan R Gopinathan.
Selepas rehat, Kedah menguatkan lagi cengkaman apabila Mohd Farhan
Roslan menanduk masuk gol kedua selepas menerima hantaran silang Badrol
Bakhtiar pada minit ke-48.
Namun, Pahang tidak menyerah dan usaha mereka berbalas apabila
bangkit merapatkan jurang pada minit ke-90 hasil jaringan Matias Conti.
Kedah bagai tidak berpuas hati dengan kedudukan mereka dan bertindak agresif mahu gegar gawang lawan lagi.
Selang dua minit kemudian keringat mereka berbalas apabila Khyril
Muhymeen Zambri tenang menyumbat masuk gol ketiga pasukan untuk memberi
modal selasa buat skuad Helang Merah.
KEPUTUSAN
Separuh akhir pertama
KEDAH……….3
(Namkung Wong, m-8
Farhan Roslan, m48
Khyril Muhymeen Zambri, 92)
PAHANG……..1
(Matias Conti,m-90)
Sumber: BH Online