[AUTA] BEBERAPA keping gambar tersebar di laman sosial
menasihatkan pemilik kereta Myvi atau Alza supaya berwaspada. Sudah
terjadi beberapa kes gandar belakang kereta Perodua tercabut terus
(walaupun kereta baharu)...sayangi nyawa anda. Jangan terus percaya pada
kualiti kereta anda.
[FAKTA] PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua)
semalam, menjelaskan beberapa keping gambar yang disebarkan dalam media
sosial menggambarkan belakang akhir gandar sebuah Perodua Alza terpisah
daripada bingkai.
Presiden Perodua dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid
Salleh berkata, kerosakan yang ditunjukkan dalam gambar tersebut
disebabkan pelanggaran antara Perodua Alza dan kenderaan lain.
"Dalam beberapa posting, mereka mendakwa bahawa kenderaan itu rosak
akibat kawalan kualiti rendah. Kami ingin menegaskan bahawa Perodua
tidak bertolak ansur terhadap kualiti dan kawalan kualiti sama ada dalam
pengeluaran, jualan dan juga perkhidmatan selepas jualan kami," katanya
dalam satu kenyataan media, semalam.
Aminar Rashid berkata, komitmen terhadap kualiti adalah satu komponen
teras dalam setiap empat tonggak transformasi iaitu transformasi
pengeluaran; transformasi produk; pembangunan dan penyelidikan dan
transformasi perolehan; dan transformasi kepuasan pelanggan.
"Kami ucapkan terima kasih kepada semua pelanggan kami atas sokongan
mereka. Perodua akan ambil apa sahaja tindakan yang perlu untuk
melindungi nama dan imej dari sebarang bentuk fitnah dan libel,"
katanya.- Sinar Harian