Pesta Arak: PAS Bantah, Exco DAP Saran Carlsberg Mohon Permit?

Exco kerajaan tempatan Selangor Ean Yong Hian Wah menasihatkan supaya penganjur pesta arak Oktoberfest supaya memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan pesta itu.

Bagaimanapun beliau yang juga ADUN Seri Kembangan menegaskan kelulusan permohonan permit itu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

"Kerajaan negeri tidak pernah memutuskan apa-apa kelulusan kepada mana-mana pihak penganjur program ini.

"Namun begitu, pengeluaran permit adalah di bawah bidang kuasa PBT. Pihak penganjur boleh  memohon kepada PBT yang berkaitan dan kelulusannya adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya petang ini.

Dalam kenyataan media itu, beliau menyebut antara syarat yang ditetapkan ialah:
  • Memasang papan tanda "Melayu/ beragama Islam dilarang masuk" dan melaksanakan langkah kawalan syarat tersebut.
     
  • Penganjur dikehendaki memastikan tiada pengunjung di bawah umur dibenarkan masuk.
     
  • Kelulusan daripada Jabatan Kastam bagi lesen minuman keras hendaklah diperolehi terlebih dahulu.
     
  • Mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
     
  • Lokasi hendaklah tertutup dan penganjur mestilah memastikan aspek keselamatan serta tiada kacau ganggu dan syarat lain.
JAIS minta penganjur peka

Sementara itu, Ean Yong yang juga setiausaha DAP Selangor berkata kerajaan negeri turut kesal dengan pihak yang mempolitikkan isu pesta arak tersebut.

Katanya, kerajaan negeri dan PBT mempunyai undang-undang dan peraturan yang mencukupi untuk mengawal dan melaksanakan tugas berkaitan.

"Kerjaan negeri berasa kesal ke atas sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempolitikkan isu tersebut dan mengakibatkan kekeliruan di antara rakyat," katanya.

Pesta Octoberfest bermula sejak abad ke-19 lagi.
Papan iklan dikatakan tidak mendapat kelulusan PBT Selangor, tapi dipasang di papan iklan milik Majlis Bandaraya Shah Alam? Lihat logo MBSA di bawah sebelah kiri gambar.

Peringkat Malaysia, untuk 2014, ia bermula di hotel Subang pada 24 September dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sambutan akhir dijadual diadakan di pusat membeli belah One Utama di Petaling Jaya daripada 10 hingga 12 Oktober dan dijangka menarik perhatian 12,000 orang penggemar bir.

Pesta itu turut mendapat bantahan beberapa pemimpin PAS dan NGO seperti Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILHAM) dan Angatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Sementara itu, dalam kenyataanya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menggesa pihak penganjur agar lebih peka dengan sosiobudaya dan sensitiviti agama dalam negara ini.

"Manakala pihak berkuasa tempatan pula dipohon untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana-mana pihak yang dengan sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan," katanya. -Malaysiakini.com