Pesta Arak Terbesar Di Negara Islam


IKLAN telah dipasang, gendang pun telah dicanang, dan ramai yang ghairah untuk berseronok sambil bebas menonggeng arak pada Festival Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 12 Oktober.

Seperti yang diiklankan pesta ‘berdengung’ dan ‘ringan-ringan’ anjuran syarikat pengeluar arak terkenal itu akan diadakan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Petaling Jaya.

Maka tercetuslah kontroversi, konon Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR telah menghalalkan pesta arak. Ramailah yang menjerit. Baik Umno, NGO Melayu, NGO Islam, semua mengutuk kelulusan pesta tersebut.

Hatta, Pas yang menjadi rakan sekelambu PR pun membantah keras pesta tersebut sambil mendesak PBT dan kerajaan mengambil tindakan ke atas penganjur yang telah mempromosikan festival itu secara terbuka.

Arakian, keghairahan pun mengendur dan ramai yang mengeluh. Sepatah kata anak-anak muda “tengah syok-syok tiba-tiba potong stim!”

*MESKI ramai yang menentang, menteri besar, Mohd Azmin Ali berkata pesta arak itu boleh diadakan sekiranya pihak penganjur mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan agensi-agensi seperti polis dan kastam.


Apa yang mencetuskan kontroversi ialah iklan pesta tersebut digantung tanpa permit. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan mengesahkan Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) tidak pernah meluluskan permit untuk iklan berkenaan. Iklan yang mencetuskan kontroversi itu telah dibuang, dan syarikat pengiklanan terlibat telah digantung selama tiga bulan.

Harap-harap insiden seperti ini tidak berulang dan jangan dihebahkan secara terbuka. Kena hormat juga perasan orang Islam. Kalau hendak mabuk atau tonggeng-terbalik pun buatlah secara tertutup, bukan terang-terangan seperti acara lelong durian.

*SEBAGAI orang Islam saya menyokong penuh parti politik, NGO dan individu yang berkobar-kobar menyuarakan tentangan terhadap Oktoberfest yang diiklankan di Shah Alam sebagai ‘The Biggest Beer Celebration in the World’.

Namun, sekadar makluman, ini bukan pertama kali Oktoberfest diadakan di negara ini. Tidak lama dulu acara ini telah pun diadakan di beberapa tempat termasuk di Dataran Bintang KL, Lot 10 dan pusat beli-belah Starhill.

Malah Duta Jerman ketika itu, Dr. Norbert Heinrich Holl sendiri telah melancarkan pesta yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan kesenian. Bezanya kali ini pesta berkenaan diiklankan secara terbuka, dan diadakan di negeri Selangor pula. Kalau buat di KL
mungkin tidak kontroversi.

Perihal minum arak secara terbuka, walaupun dilarang, bukanlah luar biasa lagi di tempat kita. Kerap kali bir dan minuman keras lain dinikmati di tempat terbuka, siapa sahaja boleh meneguk.

Malah, pesta beli dan minum arak diadakan di laluan utama sebuah pusat beli-belah baru-baru ini, sebagai promosi syarikat arak yang menjadi penaja utama bola sepak dunia. Tidak ada siapa pun bising!

Sekadar makluman juga, kilang arak di negara kita adalah antara pengeluar minuman keras terbesar dunia. Cukai arak bernilai berbilion RM masuk ke kantung perbendaharaan negara setiap tahun. Ada sesiapa berani menentang? -Sinar Harian