Pingat Emas Wushu: KJ Gagal Pertahan

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) semalam dilaporkan telah memutuskan untuk menolak rayuan Malaysia untuk menyemak semula keputusan ujian doping terhadap peserta Wushu, Tai Cheau Xuen, yang gagal dalam ujian tersebut baru-baru ini.

Pasukan khas CAS yang ditubuhkan di Sukan Asia Incheon telah memutuskan untuk menolak rayuan tersebut. 

Dengan keputusan muktamad itu, tindakan menarik balik pingat emas yang dimenangi Cheau Xuen, 22, dalam acara Nanquan dan Nandao yang dipertanding pada Selasa lalu oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) dikekal.

Pingat emas berkenaan kemudiannya akan dianugerahkan kepada peserta Indonesia, Juwita Niza Wasni yang sebelum ini memenangi pingat perak bagi acara berkenaan.

Pada Selasa lalu,  OCA memutuskan untuk menarik balik pingat emas Cheau Xuen yang dimenangi dalam acara gabungan Nanquan dan Nandao selepas atlet berkenaan didapati gagal dalam ujian saringan dadah.

Menurut kenyataan penganjur, ujian sampel air kencing Cheau Xuen yang dibuat pada 20 September lepas selepas pertandingan mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam senerai larangan Agensi Antidoping Sedunia (WADA).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kemudiannya cuba memberi harapan kepada keputusan mengecewakan itu berikrar untuk memastikan pingat emas tersebut kekal ditangan Cheau Xuen dan Malaysia. -KedahNews.com