Potong Peruntukan Rakyat Kawasan Khalid: Azmin Masih Anggap Khalid "Kawan"?

Walaupun bertindak memotong peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di DUN dan Parlimen yang diwakili Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin tidak mengaku beliau menyimpan dendam terhadap bekas Menteri Besar yang digulingkan itu. 

Kata Azmin, beliau tetap menganggap Abdul Khalid sebagai "kawan" dan menjelaskan tindakannya memotong peruntukan SMUE di kawasan terbabit pernah dilakukan oleh bekas Menteri Besar itu sebelum ini.

"Beliau adalah kawan saya dan tidak ada dendam terhadap beliau. Tindakan memotong peruntukan yang diuruskan beliau adalah amalan pentadbiran negeri sebelum ini.

"Apabila (bekas wakil rakyat Pelabuhan Klang dan ahli PKR) Badrul (Hisham) dipecat pada tahun 2008, Tan Sri Khalid melakukan perkara yang sama.

"Bagaimanapun, mereka yang masih layak untuk menerima skim ini akan mendapat manfaatnya," katanya yang dipetik dari media, semalam.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin sebelum ini mendedahkan Kerajaan Negeri pimpinan Azmin telah mengeluarkan arahan kepada pihak bank supaya membekukan akaun bank SMUE di Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang.

Kata Faekah, arahan tersebut telah dikeluarkan di atas nama Bendahari Kerajaan Negeri Selangor pada 25 September lalu.

Mohamed Azmin difahamkan adalah merupakan "musuh politik dalaman" Abdul Khalid sebelum bekas Menteri Besar itu dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilaporkan berbalah dalam pelbagai perkara sebelum ini.

Kem Azmin dikatakan menerima restu dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala kem Abdul Khalid dilaporkan menerima sokongan dari kem Presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah dan anaknya, Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun, Abdul Khalid akhirnya telah berjaya dipecat dan digulingkan dari PKR dan jawatan Menteri Besar Selangor baru-baru ini apabila enggan menyerahkan jawatan tersebut kepada isteri Anwar, Wan Azizah, secara sukarela. -KedahNews.com