Norsila di depan rumahnya, kelihatan masih phobia selepas apa yang berlaku... |
Seorang mangsa ribut yang melanda Kampung Alor Besar, Pendang, terkejut dengan bunyi kuat sebelum terpegun melihat atap zink rumah serta sebahagian rumahnya di puting beliung, petang semalam.
Mangsa ribut berkenaan, Che Minah Bakar, 64, berkata, azan solat Asar dari masjid di kampungnya itu sedang berkumandang ketika kejadian itu dan dia bersama anak serta beberapa rakannya berada di tengah sawah sedang "menyerkap" ikan.
"Tiba-tiba dia bunyi pung pang pung pang.. Rumah terbakaq ka? Kapai terbang jatuh terhempas ka?
"Angin takdak..dia (puting beliung) putaq hat tu saja.. tengok-tengok atap zink dok naik, kayu-kayu apa la semua dia bawak naik.. ayaq dalam bendang dia putaq naik tinggi.. dia tarik naik atas tinggi bukan main... Ishhh takuuttt..!
"Masa 'bang' (azan) Asaq tu.. masa orang 'bang' di masjid tu.. masa tu lah," katanya menceritakan kembali detik-detik cemas insiden puting beliung yang melanda kampungnya sehingga menggemparkan seluruh negara.
Rumah Che Minah "lopong" di atas beratapkan langit... |
Terubat sedikit hati Che Minah dengan kehadiran Puteri UMNO Kedah |
Katanya, puting beliung berkenaan tepat berada di atas rumah anak menantunya yang terletak berhampiran rumahnya menyebabkan sebahagian besar ditingkat atas dan bumbung rumah tersebut diterbangkan.
Rumah Che Minah turut "lopong" ditengah-tengah akibat atap zink di bahagian tersebut juga diterbangkan angin dalam kejadian ribut berkenaan.
Menantunya, Norsila Azid, 24, pula menceritakan saat-saat mendebarkan selama 10 minit terperangkap di dalam rumahnya ekoran pintu utama dan belakang rumahnya dihalang oleh kayu dan barang-barang yang diterbangkan puting beliung.
"Saya dok dalam bilik masa tu, saya lari masuk ambil dua-dua anak.. nak keluar dari bilik tu saya tengok kayu-kayu, zink-zink semua dah tutup pintu dah.. tak boleh keluaq.
"Saya dan anak-anak dok dalam bilik.. tawakkal la nak jadi apa pun," kata mangsa yang kelihatan masih terkejut dengan kejadian yang berlaku semalam.
Norsila berkata, dia bersama anak-anaknya yang masih kecil berusia 2 tahun 6 bulan dan 4 bulan lebih itu pasrah dengan keadaan tersebut selama 10 minit menanti puting beliung itu berlalu dari kawasan rumahnya.
Ujian dari Allah SWT, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi... |
Dalam kejadian tersebut, sebanyak 11 rumah penduduk kampung terjejas teruk, manakala sebuah sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Besar, mengalami kerosakan di beberapa bahagian di tujuh blok bangunannya.
Exco Kerajaan Negeri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (Adun) Sungai Tiang, Dato' Suraya Yaacob turut mengunjungi rumah-rumah mangsa memberikan semangat, selain memberi bantuan kilat bersimpati dengan nasib mereka.
Suraya dan Mukhriz hadir beri semangat, hulur bantuan awal sebelum lebih banyak bantuan menyusul |
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, juga terpanggil untuk bersama Suraya mengunjungi keluarga mangsa-mangsa bersama pelbagai agensi kerajaan yang lebih awal lagi berkampung di lokasi tragedi. -KedahNews.com