IPOH - Seorang pengusaha homestay dihadapkan di
Mahkamah Majistret di sini, Rabu, atas tuduhan merakam gambar tiga
lelaki dan lima wanita mandi dalam keadaan bogel, melalui mini kamera
litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bilik air homestay itu pada Julai
lepas.
Tertuduh Lim Lai Heng, 42, mengaku tidak bersalah selepas lapan
pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadaapan Majistret Haslinda A. Raof.
Lim didakwa hendak mengaibkan kehormatan mangsa dengan sengaja
merakam gambar keluarga itu melalui mini CCTC yang dia pasang dalam
bilik air tingkat atas homestay berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terhadap mangsa berumur 17 tahun
hingga 53 tahun di Ipoh Garden Homestay, Jalan Pekeliling Tasek, Taman
Canning di sini pada pukul 2.30 petang hingga 11.30 malam, 27 Julai
lepas.
Bagi kesalahan itu, Lim boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun
Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga lima tahun atau denda
atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman memohon mahkamah memberi jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Justeru itu, peguam yang mewakili tertuduh, Stephen Su berkata
tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan
memohon jaminan dikurangkan.
Majistret menetapkan jaminan sebanyak RM28,000 untuk kesemua
pertuduhan dengan seorang penjamin dan sekiranya tertuduh mendekati
mangsa, jaminan akan dibatalkan dengan sendirinya.
Katanya tarikh sebutan kes pada 10 Nov depan. -mStar