Mungkin ramai lelaki melihat status Izreen Azminda sebagai janda muda yang masih "bergetah", maka ramailah yang memasang angan-angan untuk memikat pelakon drama jelita itu untuk dijadikan pasangan hidup masing-masing.
Izreen baru lima bulan menjanda, namun dia mendedahkan bahawa ramai lelaki yang beriya-iya mahu mendekatinya.
Namun pelakon itu menegaskan bahawa dia kini sedang menumpukan perhatian terhadap anaknya, Muhammad Umar Adrian, yang kini berusia setahun tiga bulan dan mana-mana lelaki yang berminat pada Izreen, juga perlu menerima anaknya.
"Bagi saya apa yang berlaku masih baru dan biarlah saya beri tumpuan kepada anak dahulu.
"Sudah tentu saya perlu utamakan anak saya dahulu, kalau seseorang
lelaki itu mahu mengenali saya, dia perlu terima anak saya juga," kata Izreen yang dipetik dari mStar.
Izreen pernah berkahwin dengan Muhammad Riza Baharuddin pada 31 Ogos 2012 di Alor Setar, Kedah, dan telah dikurniakan seorang cahaya mata sebelum bercerai pada 9 Jun lalu.
Sebelum itu, pelakon drama bersiri itu juga meluahkan pendiriannya untuk tidak menerima mana-mana lelaki buat masa terdekat bagi mengelak hatinya dilukai sekali lagi. -KedahNews.com