Ramai Pekerja Swasta Terlibat Dengan "Along"?


Pernahkah para pembaca terfikir mengapa individu berkenaan masih menjalankan urus niaga bersama agensi tersebut sedangkan bermacam-macam kes telah berlaku sehingga mengakibatkan nyawa keluarga peminjam terancam?

Permasalahan ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian walaupun pelbagai cara telah dirancang oleh pihak berkuasa bagi membenteras gejala ini tetapi ia lansung tidak memberi apa-apa kesan malahan ia makin berkembang seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.


Apabila timbul pelbagai kes melibatkan peminjam, masyarakat dilihat menyalahkan individu berkenaan tanpa memikirkan sebab mengapa mereka bertindak sedemikian dengan menjalankan urusniaga bersama golongan yang boleh dikategorikan sebagai sangat kejam.

Dari pemerhatian Kedahnews.com,  individu yang menjalankan urusniaga dengan agensi berkenaan terdiri daripada pekerja-pekerja swasta yang sukar mendapatkan pinjaman daripada bank-bank yang sedia ada di negara kita.

Menurut salah seorang peminjam yang terlibat dengan agensi berkenaan berkata, tindakannya menjalankan urusniaga bersama 'syarikat' tersebut disebabkan cubaannya untuk mendapatkan pinjaman dengan bank-bank di negara ini sering gagal kerana dia seorang pekerja swasta.

Katanya yang enggan nama disiarkan, hampir keseluruhan bank yang dikunjunginya menolak permohonan pinjaman dengan alasan bank hanya menjalankan urusniaga dengan kakitangan kerajaan.

Oleh sebab itu, dia terpaksa mengambil risiko yang sangat tinggi bagi mendapatkan pinjaman memandangkan keadaannya yang memerlukan wang bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

KedahNews.com cuba melakukan beberapa tinjauan di beberapa bank sekitar Alor Setar dan keputusannya amat-amat mengecewakan.

Ternyata benar dakwaan yang dinyatakan oleh individu tersebut.

Kebanyakkan bank menyatakan alasan yang sama malah terdapat ada di antara mereka enggan melayan permohonan kami apabila mengetahui kami merupakam kakitangan swasta.

Namun begitu, terdapat juga bank menerima pemohonan pekerja swasta akan tetapi syarat yang dikenakan sangat tinggi dan bagi mereka yang berpendapatan 3,000 ke bawah, anda boleh melupakan hasrat untuk melakukan pinjaman di bank dalam negara ini.

Keadaan yang berlaku jelas menunjukkan perbezaan di antara pekerja kerajaan dan pekerja swasta.

Apa yang cuba disampaikan oleh Kedahnews.com bukanlah berniat untuk mencetuskan rasa tidak puas hati di antara pekerja kerajaan dan swasta tetapi diharap pihak bank dapat memberi layanan seadilnya kepada golongan bukan kakitangan kerajaan kerana ia mungkin dapat membantu pihak berkuasa membendung permasalahan berkaitan peminjam wang berlesen.

Pihak bank seharusnya peka terhadap pemasalahan ini dan memberi kelonggaran terhadap pekerja swasta dalam melakukan pemohonan pinjaman. Seandainya mereka gagal melunaskan segala pinjaman, pihak berkenaan boleh menyenarai hitamkan individu yang ingkar.

KedahNews.com yakin sekiranya cadangan ini diperhalusi oleh pihak bertanggungjawab, segala permasalah berkaitan agensi 'peminjam wang' atau 'along' akan dapat di kurangkan malah ia akan membantu pihak kerajaan mengatasi masalah ini dari terus merebak pada masa hadapan. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor