"Bila nasi sudah menjadi bubur", mungkin periuk nasi yang dulu begitu empuk nasi di dalamnya akan terisi dengan pasir yang tidak mungkin dapat dijamah.
Mungkin itulah situasi yang menimpa pelakon, Hanez Suraya, yang meluahkan rasa, kesal dengan apa yang menimpa kariernya apabila "terlajak bercinta" dengan suami orang hingga menimbulkan kontroversi yang memburukkan imejnya.
Hanez mengeluh. Dia tidak mendapat tempat untuk mengisi slot-slot drama dan keadaan itu menyebabkan dia rindukan set lokasi penggambaran.
Katanya, meskipun ramai penerbit yang menawarkan watak-watak untuk slot penggambaran drama, namun ekoran keengganan stesen-stesen televisyen tempatan untuk menyiarkan drama lakonannya menyebabkan artis itu terpaksa digugurkan di saat akhir.
Bacalah sendiri keluhan anak seni yang kini menyedari kesilapan yang pernah dilakukan. Mungkin inilah yang dikatakan resmi anak muda lebih banyak bertindak mengikut perasaan berbanding merenung kesan dan akibat perbuatannya.
Semoga Hanez diberi peluang kali kedua untuk membuktikan dirinya kepada industri seni tanahair... -KedahNews.com
Benda sudah berlaku, tiada guna untuk saya menyesal kerana semua itu berpunca daripada kesilapan sendiri. Salah saya kerana terlalu terbuka, tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
Cuma saya terkilan apabila terus dihukum kerana kesilapan semalam sehingga ruang untuk saya kembali berkarya semakin sempit.
Memang saya berdosa tetapi wajarkah saya dihukum hingga langsung tidak diberi peluang meneruskan minat dalam bidang seni?
Setiap orang berhak mendapat peluang kedua untuk memperbetulkan semula kesilapa tetapi mengapa saya tidak diberi kesampatan itu?
Saya tidak mengeluh sebaliknya berharap mereka yang mempunyai kuasa untuk memberikan semula kesempatan bagi saya membuktikan kesungguhan sebagai pelakon.
Penerbit tidak pernah lupa malah masih menghulurkan tawaran, tetapi pada saat akhir nama saya digugurkan kerana bimbang kemunculan memberi kesan kepada rating sesebuah drama.
Saya bermula dari bawah, merangkak untuk membina nama, namun kerana kesilapan lantaran terlalu mengikut kata hati, itu semua musnah.
Saya tidak menafikan perasaan rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran semakin tebal.
Pernah juga saya merisik khabar daripada penerbt yang rapat, mereka yang masih memberikan sokongan, tetapi apa daya mereka jika nama saya tidak diluluskan oleh stesen televisyen. Sesetengah pihak dengar saja nama Hanez Suraya, terus ditolak.
Berikan saya ruang untuk membersihkan nama dan menebus semua kesilapan lalu.-Hanez Suraya