Rawi Nak Bina 6 "Ponton" Di Sungai Kedah

ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan membina sekurang-kurangnya enam ponton (jeti terapung) di sekitar Sungai Kedah dan Anak Bukit.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pembinaan itu bagi memudahkan pendaratan dan pengairan di kawasan tersebut.

“Untuk membuat ponton ini, kita tidak perlu bina tebing konkrit di sepanjang pengairan kerana keindahan semula jadi dah cukup menjadi tarikan pelancong,” katanya selepas meninjau kawasan perairan sepanjang 10 kilometer, di sini, semalam.

Menurutnya, peruntukan bagi pembinaan ponton itu akan diputuskan dalam mesyuarat Exco nanti.

“Kita sudah ada syarikat yang berminat untuk melaksanakan aktiviti pelayaran sungai seperti di Melaka.

“Jika ponton tidak dibina, ia akan menyukarkan mereka untuk naik ke daratan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan ponton tersebut dibina kawasan yang menjadi tarikan pelancong dan kemudahan orang ramai.

“Mungkin kita boleh bina di Dataran Tanjung Chali terlebih dahulu. Kemudian di Masjid Zahir, Rumah Merdeka dan beberapa kawasan masjid lain serta Pumpong untuk kemudahan pelancong.

Sebelum ini, dilaporkan Dataran Tanjung Chali yang merupakan kawasan pelancongan akan dibangunkan semula dengan pelbagai kemudahan dan tarikan baharu pelancongan. -Sinar Harian