RM30,000 Ini Saja Yang Dapat...

Trauma. Itulah perasaan yang digambarkan oleh seorang mangsa sindiket penipuan gores dan menang setelah mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit dalam sekelip mata.

Robiah (bukan nama sebenar), 62, berkata, kejadian malang menimpanya bersama suami ketika mahu membeli cenderahati kepada rakan tadarus di kampungnya.

“Saya selalunya memang jarang nak keluar ke pekan tapi disebabkan berniat untuk beli sejadah, saya pergi ke pekan Alor Setar. Kedai pertama saya pergi tak menarik perhatian.

“Ketika itu datang dua lelaki cadangkan kepada saya dan suami pergi ke pasar raya besar dan mereka terus ikut saya menaiki kereta,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, semasa di dalam kenderaan yang dipandu suaminya, Shahrir (bukan nama sebenar), 61, pemuda terbabit cuba mempromosikan tawaran dengan hadiah lumayan.

“Masa dalam kereta mereka cuba meyakinkan kami dengan pelbagai tawaran hebat, seperti kereta mewah, pakej umrah dan sebagainya.

“Mungkin cara percakapan mereka yang meyakinkan, niat membeli sejadah ditangguhkan dan kami terus ke pejabat pemuda terbabit,” katanya.

Serah wang buat cabutan Menurutnya, ketika berada di bangunan pejabat dipercayai tempat beroperasi sindiket penipuan gores dan menang terbabit, berlaku tawar-menawar untuk memenangi hadiah menarik dengan harga yang murah.

“Pada mulanya mereka terangkan pelbagai hadiah boleh kami terima mengikut kemampuan wang ringgit yang ada. Dalam  senarai itu ada sembilan barangan namun mereka hanya beri penekanan kepada kereta mewah yang mampu menarik minat sesiapa sahaja termasuk suami saya.

“Mereka memberitahu jika saya dapat nombor kosong, duit kami akan digandakan. Sebab itu saya meletakkan harga RM30,000 dengan harapan jika cabutan kami berjaya, dapat melipat gandakan duit terbabit,” katanya.

Robiah berkata, bagaimanapun cabutan yang dilakukan hanya mendapat nombor 07, bermakna hadiah yang ditawarkan adalah dua tilam yang didakwa bernilai RM4,000 setiap satu selain hadiah sampinganlain.

“Selepas mengetahui harga sebuah tilam RM4,000, saya seakan merasakan sudah kena tipu.

“Saya cuba minta semula wang saya yang dikeluarkan daripada sebuah bank secara tunai namun, tidak dapat,” katanya.

Robiah yang juga pesara kerajaan berkata, dia dan suaminya terpaksa pulang dengan barangan yang tidak setimpal dengan wang diserahkan kepada sindiket terbabit.

“Mereka ambil dua tilam itu dan sumbat ke dalam kereta saya dengan beberapa lagi barangan elektrik lain termasuk pengurut kaki dan sebagainya sebanyak dua set setiap satu kerana dikatakan bernilai RM30,000.

“Sampai di rumah, saya langsung tak tengok barangan terbabit. Saya jadi trauma dan suami saya masukkan dalam satu bilik dan dikunci di situ,” katanya.

Mahu sindiket dikenakan tindakan undang-undang Robiah berkata, selepas pulang ke rumah, pada malam itu, dia tidak boleh tidur dan berfikir bahawa dia sudah ditipu.

"Saya buat laporan polis pada keesokan harinya. Saya cuba hubungi nombor yang diberikan penyelia syarikat terbabit.

"Nombor telefon terbabit masih aktif dan saya cuba merayu supaya  dikembalikan wang saya, namun gagal,” katanya.

Katanya, pelbagai tindakan dilakukan termasuk membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna dan sebagainya untuk mendapatkan kembali wang terbabit.

“Macam-macam sudah saya lakukan namun, sehingga kini masih belum selesai sehingga saya bersama mangsa lain merancang untuk mengheret syarikat terbabit ke muka pengadilan.

“Saya reda dan harap orang ramai di luar sana jangan layan dengan cubaan mana-mana individu untuk tawarkan hadiah lumayan. 

"Kalau layan memang akan terpengaruh dan boleh kerugian harta benda. Saya harap pihak berkuasa dapat tangani perkara ini dengan segera,” katanya. -Sinar Harian