Roh Kembali Ke Dunia?

Al-Quran juga menggambarkan bahawa roh tidak boleh kembali ke dunia. - Gambar hiasan
PERSOALAN roh merupakan persoalan yang rumit kerana ia adalah dimensi yang berada di luar tanggapan pancaindera manusia. Fitrah kejadian roh bukanlah dari alam nyata (syahadah) akan tetapi dari alam rohaniah yang ghaib.

Rasulullah SAW sendiri apabila ditanya oleh orang Yahudi tentang hakikat roh menghadapi kesukaran untuk menjawabnya sehingga turun ayat al-Quran dalam Surah Isra’, ayat 85, yang mengatakan: 
Dan mereka bertanyakan tentang roh. Katakan, roh itu daripada urusan Tuhanku dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.
Oleh yang demikian, segala hal berkaitan dengan roh mesti merujuk kepada sumber sam’iyyat, sama ada daripada al-Quran atau hadis-hadis Nabi.

Menurut al-Quran, Allah SWT menjadikan manusia dengan mempunyai dua unsur utama jasad dan roh. Jasad dicipta daripada unsur tanah, manakala roh merupakan sesuatu yang dtiupkan daripada Allah ke dalam jasad seperti yang disebut dalam al-Quran, surah al-Hijr, ayat 28-29 yang bermaksud: 
"dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepqada para malaikat: Sesungguhnya aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila aku menyempurnakan kejadian-Nya Aku meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)Ku, maka tunduklah kamu kepada-Nya dengan bersujud."
Roh dan jasad berhubung antara satu dengan yang lain. Menurut Imam al-Ghazali, hubungan antara keduanya adalah dalam erti kata roh merupakan raja kepada jasad. (al-Ghazali Kitab ‘Aja’ib al-Qalb dalam Ihya Ulum al-Din).

Hubungan ajaib

Kesatuan antara roh dan jasad adalah satu hubungan yang ajaib kerana kedua-duanya mempunyai fitrah yang berbeza, rohani dan jasmani. Ini adalah antara bukti kekuasaan Allah SWT.

Ketika kematian, roh akan meninggalkan jasad dan berpindah ke alam barzakh yang bermaksud ‘benteng pemisah’, kediaman perantaraan antara dunia dan akhirat. Al-Quran menyebut tentang alam barzakh yang bermaksud: Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). (Al-Mukminun: 100)

Ketika kematian, roh akan meninggalkan jasad dan berpindah ke alam barzakh. – Gambar hiasan
Roh ditempatkan di sini sebelum dibangkitkan di hari kiamat untuk dicantumkan semula dengan jasad dan akan dihisab dan diberi pembalasan sama ada di syurga atau neraka.

Persoalannya adakah roh yang telah meninggal dunia mampu balik ke alam dunia?

Roh yang telah meninggal dunia tidak boleh kembali ke dunia. Ini kerana urusan seseorang manusia ketika ia telah meninggal dunia telah selesai dan peringkat yang seterusnya ialah peringkat kehidupan di kubur dan penantian hari kiamat untuk dihisab oleh Allah SWT.

Al-Quran juga menggambarkan bahawa roh tidak boleh kembali ke dunia seperti yang digambarkan dalam surah al-Mukminun, ayat 99 dan 100 yang bermaksud: 
Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka (orang kafir) dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan.
Ibnu al-Qayyim dalam Kitab al-Ruh, mengatakan pandangan Abu Umar bin Abd Barr yang mengatakan bahawa sebelum Hari Kiamat sebahagian roh seperti para syuhada berada dalam syurga sementara roh orang mukmin, umumnya berada di dalam kubur mereka. Ini antara lain berdasarkan ayat al-Quran yang mengatakan bahawa orang-orang yang syahid itu tidak mati akan tetapi hidup di sisi Allah. (Ali Imran: 169)

Berdasarkan penjelasan di atas dapat disimpulkan, bahawa pada asasnya roh orang yang meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Maka pandangan yang mengatakan misalnya roh orang yang mati masih berada atau melihat ahli keluarga selama tiga hari tiada asasnya.

Pengecualian yang diberikan oleh sebahagian ulama ialah kemungkinan untuk mereka yang masih hidup bertemu dengan roh yang telah mati dalam mimpi dengan izin Allah SWT.

NAMUN, ada ulama berpandangan bahawa roh yang telah meninggal dunia dapat bertemu dengan roh orang yang masih hidup iaitu di dalam mimpi. Ini berdasarkan ayat al-Quran yang mengatakan bahawa:

Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan memegang jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya. Maka Dia tahan jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. (al-Zumar: 42)

Ayat ini menunjukkan bahawa roh orang yang mati dan yang tidur kedua-duanya dipegang oleh Allah. Cuma roh orang yang tidur dikembalikan sementara orang yang meninggal dunia ditahan terus. Atas dasar ini, kedua-dua roh ini boleh bertemu.

Ibnu al-Qayyim menukilkan banyak kisah-kisah dalam kalangan orang yang baik yang bermimpi bertemu dengan orang-orang yang telah meninggal dunia.

Menurut beliau walaupun ada sebahagian mimpi yang tidak benar yang datang daripada gangguan syaitan, namun sebahagian mimpi adalah merupakan ilham daripada Allah SWT, terutama yang berlaku kepada mereka yang baik. (Ibnu al-Qayyim, Kitab al-Ruh). -Utusan