SAMSUNG Malaysia Electronics melancarkan versi terbaharu telefon pintar Galaxy Note dan jam pintar Gear S.
Presiden Samsung Malaysia Electronics Lee Dong Yong berkata Galaxy Note
4 menandakan pencapaian inovasi teknologi luar biasa dengan skrin
bersaiz besar dan teknologi Pen-S ikonik yang menetapkan satu standard
baharu dalam budaya penggunaan telefon pintar.
"Di samping Note 4, kami juga memperkenal Samsung Gear S yang
mentakrifkan semula idea pemakaian dan budaya bergaya komunikasi mudah
alih selain menawarkan satu pengalaman baharu dalam berketerampilan,"
katanya pada majlis pelancaran dua produk itu di sini hari ini.
Telefon pintar Galaxy Note 4 diupayakan dengan sistem kamera terbaharu
pandang belakang 16 megapiksel serta sebuah kamera pandang hadapan 3.7
megapiksel dengan f1.9 yang menawarkan sudut rakaman 90 darjah dan mampu
mengambil selfie sehingga 120 darjah, sekali gus memudahkan fotografi
berkumpulan.
Samsung Gear S pula menampilkan paparan peraga melengkung dua inci Super AMOLED, yang memberikan pemandangan lebih luas.
Pengguna boleh membaca mesej dan pemberitahuan dengan sekali pandang sahaja.
Samsung Galaxy Note 4 ditawarkan dalam tiga warna, hitam arang, putih
salji dan emas gangsa, dan mula dijual pada Jumaat. - Bernama