Antara produk Samsung |
Samsung pada Khamis melaporkan keuntungan yang menguncup - yang
pertama dalam tempoh tiga tahun - sebahagian besarnya disebabkan unit
telefon pintarnya menerima saingan sengit daripada iPhone6 dan produk
dari China dan Taiwan seperti Lenovo, Asus dan Oppo.
Keuntungan bersih yang dicatatkan oleh syarikat elektronik Korea
Selatan itu ialah Won4.22 trilion (AS$4 bilion) dari Julai sehingga
September tahun ini.
Jumlah ini walaupun masih tinggi tetapi memperlihatkan kejatuhan sehingga 48.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Ia juga adalah yang terendah sejak 2011.
Manakala keuntungan operasi turut memperlihatkan kejatuhan sehingga
60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu kepada Won4.06
trilion.
Jumlah jualan pula mencatatkan kejatuhan sebanyak 20 peratus kepada
Won47.4 trilion, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh
Samsung.
Unit mobil firma elektronik terbesar dunia itu mencatatkan keuntungan
operasi sekadar Won1.75 trilion iaitu satu kejatuhan angka yang
mendadak berbanding Won6.7 trilion yang diperolehinya setahun yang
lalu.
Samsung mempunyai pelbagai unit produk tetapi unit mobilnya merupakan
penjana pendapatan dan keuntungan yang paling besar sejak telefon
pintar menguasai pasaran.
Hanya enam bulan yang lalu, keuntungan operasi unit mobil Samsung
menyumbang 76 peratus daripada keuntungan operasi keseluruhan firma
berkenaan tetapi kini jumlah tersebut menguncup hanya kepada 43 peratus
sahaja.
"Harga purata jualan runcit telefon pintar telah menunjukkan
kejatuhan ekoran pertambahan di pasaran telefon pintar berkuasa
sederhana dan rendah serta persaingan sengit daripada jenama-jenama
lain," jelas Samsung.
Samsung memperkenalkan produk terbarunya Galaxy S pada April tetapi
sambutan luar biasa yang diterima oleh pesaing terdekatnya iaitu iPhone6
baru-baru ini telah menjejaskan jualannya secara keseluruhan.
Kini pasaran yang dikuasainya selama ini semakin diambilalih oleh
segmen telefon pintar sederhana dan separa sederhana yang dikeluarkan
oleh China.
Samsung menyaksikan kejatuhan penguasaan pasaran globalnya kepada
25.2 peratus pada suku kedua tahun ini daripada 32.6 peratus penguasaan
pasarannya setahun yang lalu.
Sebaliknya, dua gergasi dari China iaitu Huawei dan Lenovo Xiaomi
menyaksikan penguasaan pasaran mereka meningkat kepada 17.3 peratus
tahun ini berbanding 11.4 peratus tahun lalu.
Jelas Samsung pasaran mobil mereka kekal sebagaia bahagian yang berhadapan dengan ketidaktentuan pada masa hadapan.
Naib Presiden Kanan Unit Mobil Samsung, Kim Hyun-Joon berkata, mereka
tidak mempunyai pilihan melainkan merombak secara dramatik produksi
segmen sederhana dan separa sederhana.
"Struktur perniagaan Unit Mobil memerlukan perubahan drastik untuk
menangani persaingan sengit sektor sederhana dan separa sederhana,"
ujarnya.
Tetapi para penganalisa melihat sebaliknya.
"Samsung sebenarnya berhadapan dengan kesukaran untuk menembusi
pasaran China yang besar kerana China sendiri sudah mampu menghasilkan
produk mereka sendiri yang setara dengan Samsung bagi segmen sederhana
dan separa sederhana," kata Lee Min-Hee, seorang penganalisa di IM
Investment and Securities.
Produk Lenovo telah menyingkirkan Samsung sebagai produk paling laris
di China dalam segmen telefon pintar dengan penguasaan pasaran sebanyak
14 peratus berbanding Samsung pada kadar 12 peratus pada suku kedua
tahun ini.
Salah satu daripada perbezaan paling ketara ialah pada harganya.
Produk telefon pintar Lenovo paling murah boleh diperolehi pada harga AS$100 manakala Siri Galaxy Samsung sekitar AS$500.
Ini sudah memadai untuk menjadi daya penarik bagi sebuah negara sepertimana China. -mStar