Sanggup Sembunyi Dalam But Kereta Untuk Hasut Sokong Anwar

Demi meneruskan perjuangan menghasut mahasiswa untuk bangkit menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol mendakwa beliau terpaksa bertindak menyembunyikan diri di dalam but sebuah kenderaan, untuk masuk ke Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, pada ceramah Ketua Pembangkang itu baru-baru ini.

Beliau bertindak sedemikian ekoran bimbang ditangkap oleh pihak keselamatan universiti yang bertindak menghalang sebarang ucapan dari pemimpin yang mempunyai kaitan dengan universiti tersebut.

Beliau yang berucap di hadapan kira-kira 50 mahasiswa universiti itu semalam berkata kehidupan beliau kini tidak ubah seperti gelandangan.

Dalam kenyataan itu, Fahmi menjelaskan kepada mahasiswa yang mengadiri dalam perhimpunan tersebut bahawa tujuan beliau bertindak sedemikian adalah kerana mahu memperjuangkan hak dan nasib seorang individu yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya bukan penjenayah, bukan pencuri dan juga bukan seorang perogol. Kenapa mereka semua takut kepada saya, seorang insan yang kurus dan kerdil ini."

"Saya tidak pulang ke rumah dan juga tidak mandi sejak semalam," katanya kepada penyokong beliau yang terdiri dari mahasisiwa itu.

Fahmi yang dalam ucapannya turut menggesa mahasiswa universiti itu agar menghadirkan diri secara beramai-ramai ke Mahkamah Persekutuan, bagi menunjukkan solidariti kepada Anwar yang juga Ketua Pembangkang pada Rabu.

Sementara itu, pada permulaan program perbincangan ‘Cabaran Integrasi Kaum dan Perpaduan Nasional’ itu, pihak keselamatan universiti telah bertindak dengan merampas pembesar suara sehingga menimbulkan sedikit kekecohan antara penyokong dan juga pihak universiti.

Bagaimanapun keadaan kembali reda dan acara itu dikawal oleh beberapa anggota polis di pintu masuk universiti berkenaan, utuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. - Azlin Hussain / UtaraNews